My Add

Saturday 23 June 2012

Tiga diplomat akan disiasat

Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA dan HUSSAINI AMRAN
KUALA LUMPUR 22 Jun - Kerajaan akan menyiasat penglibatan tiga diplomat Singapura dalam perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April lalu sama ada sebagai pemerhati atau peserta sebelum tindakan lanjut diambil.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, perkara tersebut kini dalam pertimbangan Kementerian Luar dan sebaik sahaja fakta sebenar mengenai penglibatan mereka diperoleh tindakan susulan akan diputuskan.

"Kita mahu pastikan kesahihan laporan sama ada mereka hadir sebagai pemerhati atau terlibat dalam demonstrasi terlebih dahulu, kemudian baru kita putuskan tindakan lanjut," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pendirian kerajaan dan bila bantahan rasmi berhubung penglibatan tiga diplomat Singapura yang dilihat mencabul kedaulatan negara akan dibuat.

Hari ini Kedutaan Singapura dalam kenyataannya mendakwa kehadiran ketiga-tiga diplomat tersebut dalam demonstrasi Bersih 3.0 adalah berdasarkan kapasiti peribadi dan bukan arahan kerajaan Singapura.

Mengenai Projek Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) di Gebeng, Pahang, Najib berkata, kerajaan sentiasa mementingkan keselamatan penduduk dan berdasarkan laporan saintifik projek berkenaan tidak berbahaya kepada kesihatan awam.

Tegasnya, sebarang keputusan mengenai masa depan projek berkenaan tidak boleh dibuat berdasarkan andaian pihak tertentu semata-mata, sebaliknya keputusan berkenaan mesti berpandukan kajian lengkap oleh pakar.

"Kita sentiasa mengutamakan keselamatan penduduk tetapi pertimbangan harus berasas kepada fakta yang saintifik dan bukan andaian pihak tertentu semata-mata. Fakta saintifik jelas menunjukkan Lynas selamat dan bukan seperti didakwa pembangkang.

"Malah pemimpin mereka sendiri Dr. Che Rosli Che Mat (Ahli Parlimen Hulu Langat) yang merupakan pakar nuklear mengakui Lynas sebuah projek yang selamat walaupun partinya sendiri iaitu Pas berbeza pendirian dalam isu ini," jelasnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment