My Add

Friday 8 June 2012

Kuota haji hanya diketahui awal Ramadan - Jamil Khir

KOTA BHARU, KHAMIS. 07 Jun, 2012: Seramai 930,000 rakyat negara ini berada dalam senarai menunggu untuk menunaikan ibadat haji.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, tempoh kira-kira 33 tahun diperlukan bagi membolehkan kesemua bakal haji itu yang telah cukup syarat dapat menunaikan ibadat tersebut.

Beliau berkata, ketika ini, kuota haji yang diperuntukan kepada Malaysia ialah seramai kira-kira 28,000 orang setahun atau satu peratus daripada jumlah penduduk dan kerajaan sentiasa berusaha memastikan ia dikekalkan atau ditambah.

Bagaimanapun, katanya, peluang untuk lebih ramai rakyat Malaysia menunaikan haji mungkin terjejas sekiranya kerajaan Arab Saudi mengenakan tindakan mengurangkan kuota berikutan tindakan tidak bertanggungjawab pihak tertentu menganjurkan demonstrasi haram Bersih 3.0 di Mekah dan Madinah, baru-baru ini.

“Tiap-tiap tahun kita merayu kepada kerajaan Arab Saudi, menyusun operasi haji oleh Tabung Haji supaya kita dihormati. Tetapi, apabila ada orang pergi Mekah dan Madinah pakai baju kuning (Bersih 3.0), kita ada masalah," katanya ketika berucap pada majlis Seminar Pemahaman Wasatiyyah dan 1Malaysia peringkat negeri di sini hari ini.

Seminar itu dirasmikan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin.

Hadir sama, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan dan Ketua Penerangan UMNO Kelantan, Datuk Dali Hussin.

Bercakap pada sidang akhbar kemudiannya, Jamil Khir berkata, kuota sebenar haji hanya diketahui awal Ramadan dan kerajaan telah mengambil pelbagai strategi termasuk menggunakan hubungan kerajaan dengan kerajaan bagi memastikan kuota tersebut tidak terjejas.

“Kerajaan Arab Saudi sensitif kalau adanya demonstrasi, sebab ia akan mengganggu pentadbiran kerajaan Arab Saudi itu sendiri. Kalau sekiranya ada hal-hal yang negatif, ia akan memberi kesan, yang tak dapat pergi semakin banyak.

“Di peringkat saya, kerajaan dan Menteri Luar sedang berusaha memaklumkan apa yang berlaku itu tidak ada kena mengena dengan kerajaan, tetapi hal ini di luar jangkauan kerajaan," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, dakwaan Pas bahawa UMNO menolak Islam tidak berasas kerana UMNO selama ini berjuang menegakkan agama suci tersebut.

Pada masa sama, beliau menyambut baik kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mengakui parti itu tidak menjanjikan syurga kerana ia hak Allah dan berharap perkara tersebut tidak lagi menimbulkan kegelisahan di kalangan umat Islam. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment