My Add

Monday 25 June 2012

Malam Gala Majlis Anugerah FFVPM9 penuh gilang-gemilang

SHAH ALAM. AHAD, 24 Jun, 2012: Festival Filem dan Video Pelajar Malaysia (FFVPM9) dengan majlis kemuncaknya, Malam Gala Majlis Anugerah FFVPM9 di Dewan Agong Tuanku Canselor, Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini malam tadi, berlangsung dengan penuh gilang-gemilang.

Sebanyak 251 filem dan video dipertandingkan melibatkan karya para pelajar kursus perfileman dari institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta sebagai mengiktiraf hasil kreativiti pelajar kursus filem, teater dan animasi di negara ini.

Dekan Fakulti Filem Teater dan Animasi UiTM, Prof. Madya Abdul Razak Mohaideen berkata, FFVPM9 yang berobjektif mencungkil bakat penghasilan filem dalam kalangan orang muda telah menunjukkan petanda positif apabila lebih banyak karya bermutu dihasilkan.

''Selain mengiktiraf kreativiti pelajar, majlis tersebut mengiktiraf sumbangan artis tersohor Datuk M. Nasir atas sumbangan besar beliau dalam bidang perfileman dan muzik tempatan selama ini," katanya ketika ditemui selepas majlis tersebut di sini.

Majlis itu diserikan dengan kehadiran isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang telah menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang festival berkenaan.

Hadir sama, Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Ir. Sahol Hamid Abu Bakar dan Pengerusi Perbadanan Filem Nasional Malaysia (Finas), Datuk Md. Afendi Hamdan.

Pada festival kali ini, filem Leman hasil karya pelajar perfileman UiTM muncul sebagai pemenang kategori Filem Pendek Terbaik dengan keputusan sebulat suara oleh sembilan orang juri.

Pemenang menerima hadiah wang tunai sebanyak RM5,000 dan geran membuat filem pendek daripada Finas sejumlah RM10,000 serta piala.

Malam gala tersebut diserikan dengan kehadiran 40 selebriti termasuk pengarah filem bagi menyampaikan anugerah kepada para pemenang pelbagai kategori yang dipertandingkan antaranya Azwan Ali, Esma Daniel, Azhari Zain, David Teo, Vanida Imran dan Rashidi Ishak. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment