My Add

Friday 22 June 2012

MAS bayar RM1.7 juta struktur semula kewangan

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 21 Jun, 2012: Malaysian Airline System Bhd. (MAS) telah membayar RM1.7 juta kepada syarikat perunding BinaFikir Sdn. Bhd. bagi penstrukturan semula kewangan syarikat penerbangan itu pada tahun 2002.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Donald Lim Siang Chai berkata, jumlah yuran penstrukturan semula di bawah projek Widespread Assets Unbundling (WAU) itu adalah 117 kali lebih rendah berbanding jumlah yang didakwa sebanyak RM200 juta.

"Pelaksanaan projek WAU telah diluluskan oleh para pemegang saham MAS dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) pada 5 November 2002 bagi menyusun semula kewangan MAS.

"Ia bertujuan menyediakan asas kewangan kukuh bagi membolehkan pihak pengurusan melaksanakan penstrukturan semula operasi yang lebih menyeluruh," katanya ketika menjawab soalan Wee Choo Keong (Bebas-Wangsa Maju) di Dewan Rakyat, hari ini.

Sebelum itu, Choo Keong meminta Menteri Kewangan memberi maklumat berhubung jumlah kos perundingan yang telah dibayar MAS melibatkan jumlah wang RM200 juta.

Dalam pada itu, Donald Lim berkata, MAS telah mencatat keuntungan sehingga RM339 juta pada tahun 2003 selepas pelaksanaan program penstrukturan semula di bawah projek itu yang mengambil masa selama lapan setengah bulan.

"Pada tahun 2004 pula MAS juga mencatat keuntungan sebanyak RM461 juta. Oleh itu ternyata program tersebut telah berjaya membawa MAS ke tahap lebih baik.

"Bagaimanapun, penstrukturan semula kewangan tidak boleh menjadi penyelesaian kekal bagi sesebuah syarikat memandangkan ia perlu berada dalam kedudukan kukuh dari segi operasi serta menjana keuntungan operasi," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment