My Add

Monday 18 June 2012

Nilai pemimpin dengan tanda aras betul

*JAMIL Khir Baharom berjabat tangan dengan Dekan Fakulti Syariah, Universiti Al-Bayt Jordan, Syeikh Dr. Mohammad Ali Ibrahim Alzoghool sambil diperhatikan oleh pembentang-pembentang kertas kerja pada Seminar Antarabangsa Fiqh Mentaati Pemimpin di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), semalam.

KUALA LUMPUR, AHAD, 17 Jun, 2012: Umat Islam mesti dididik menilai kerajaan dan pemimpin dengan tanda aras yang betul berdasarkan fakta, bukannya mengikut emosi serta sentimen.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, umat Islam perlu didedahkan dengan kerangka fiqh yang tepat bagi menyusun kesetiaan dan mengeratkan hubungan antara rakyat dengan kerajaan dalam satu model politik yang syarie.

"Ahlus Sunnah Wal-Jamaah mempunyai kaedah yang sangat jelas dan nyata dalam menilai keperluan mentaati pemimpin.

"Ajaran kita mewajibkan kita mematuhi segala peraturan dan undang-undang yang ditetapkan oleh pemimpin selagi mana ianya tidak bertentang dengan dalil-dalil syarak," katanya ketika berucap pada majlis perasmian penutup Seminar Antarabangsa Fiqh Mentaati Pemimpin di Pusat Dagangan Dunia Putra ( PWTC) di sini hari ini.

Menurut Jamil Khir, Islam membenarkan umatnya menyatakan rasa tidak setuju kepada pemimpin tetapi ia mesti disantuni dengan adab dan tidak memecah belahkan umat secara keseluruhannya.

"Perkara-perkara asas ini mestilah difahami dan dihayati dengan sebaik-baiknya. Sayangnya, di atas landasan dendam kesumat, umat Islam mengenepikan prinsip-prinsip asas. Menjadikan individu yang rendah moral sebagai pilihan kepada seorang pemimpin lain yang berjiwa besar," katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa banyak negara-negara Islam yang sedang menghadapi dugaan dari segi politik dan ekonomi disamping masih ada lagi negara yang dihimpit kemiskinan.

"Atas nama demokrasi total, mereka masih berhempas-pulas dalam menentukan jalan hadapan kepada negara dan umat Islam di negara masing-masing. Semua ini realiti baru yang perlu ditangani oleh umat Islam dengan penuh bijaksana dan penuh hikmah," katanya.

Sementara itu, pada sidang akhbar kemudian, Jamil Khir memberitahu penubuhan Institut Wasatiyyah yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kini berada dalam peringkat perincian dan dijangka dapat digerakkan dalam tahun ini.

"Kita tidak mahu masyarakat melihat tafsiran wasatiyyah hanya sebagai sederhana, ia juga membawa konsep terbaik dan terunggul dalam mencari keseimbangan antara dunia dan akhirat," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment