My Add

Saturday 23 June 2012

Pas gesa PM tidak panggil PRU musim haji

WAN NASRAH ABDUL RAHIM
KUALA LUMPUR, SABTU, 23 Jun, 2012: Pas hari ini menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menetapkan tarikh pilihan raya lebih awal dan pada masa yang sama, meminta Barisan Nasional (BN) tidak mengadakan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) pada musim haji.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali berkata, sebagai seorang Islam, Najib tidak boleh menafikan hak mengundi kira-kira 30,000 jemaah haji yang bakal menunaikan haji kali ini dan pada masa yang sama menghalang mereka daripada menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.

"Saya meminta Najib tidak berteka teki untuk mengumumkan tarikh pilihan raya dan saya bersetuju dengan kenyataan Nazri semalam berkaitan penetapan tarikh PRU mestilah setiap lima tahun sekali.

"Jika Najib seorang Islam, beliau perlu memutuskan bahawa pilihan raya tidak akan dilaksanakan pada musim haji kerana memberi hak kepada orang yang pergi haji untuk mengundi pada PRU13," kata beliau pada sidang media di ibu pejabat Pas hari ini.

Semalam, Najib berkata, Barisan Nasional (BN) tidak terikat kepada desakan mana-mana parti politik atau pemimpin termasuk pembangkang untuk menetapkan tarikh pilihan raya.

Beliau yang juga Pengerusi BN dan Presiden UMNO berkata, mengadakan pilihan raya semasa musim haji juga bukan sesuatu yang baru kerana sejarah menunjukkan ia pernah dilakukan sebelum ini tetapi menegaskan ibadah perlu diutamakan berbanding sebarang urusan lain termasuk pilihan raya.

"Dalam sejarah kita, kita pernah buat pilihan raya masa musim haji. Pilihan raya tahun 1986 kalau tak silap saya. Ada ahli jawatankuasa bahagian saya yang kebetulan hendak dicalon menjadi calon pilihan raya tapi saya tak dapat berhubung dengan dia sebab dia berada di Makkah.

"Bila dia balik, dia terima hakikat bahawa dia tak dapat jadi wakil rakyat sebab kalau dia bertanding, dia menang pada masa itu," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO semalam. - Sinar Harian

No comments:

Post a Comment