My Add

Saturday 23 June 2012

PM lancar Pusat Transformasi Bandar di Melaka

MELAKA TENGAH, SABTU, 23 Jun, 2012: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, sebentar tadi melancarkan Pusat Transformasi Bandar (UTC) pertama negara di Jalan Hang Tuah di sini. 

Pada majlis sama yang dihadiri kira-kira 100,000 orang, Najib turut melancarkan program Jelajah Janji Ditepati.

UTC yang beroperasi di bangunan sembilan tingkat menempatkan 70 agensi kerajaan, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyediakan pelbagai jenis perkhidmatan kepada orang ramai.

Pusat setempat itu menyediakan perkhidmatan di bawah 10 kluster termasuk kesihatan, keselamatan, pendidikan, latihan dan pekerjaan, kewangan dan pembangunan belia bermula jam 8.30 pagi hingga 10 malam setiap hari. 

UTC sebahagian daripada Strategi Lautan Biru (NBOS) yang diperkenalkan bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan kerajaan kepada rakyat menerusi kerjasama strategik antara kementerian, jabatan dan agensi kerajaan serta sektor swasta dan NGO.

BERNAMA melaporkan Najib, yang melakukan lawatan ke Melaka Bandaraya Bersejarah, sebelum itu mengunjungi pasar besar di Melaka Sentral di Peringgit di sini hari ini. 

Beliau bersama Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, serta barisan pimpinan negeri yang tiba kira-kira 9.20 pagi, diberi sambutan hangat oleh
pengunjung pasar yang tidak melepaskan peluang menatap wajah pemimpin tertinggi negara itu. 

Melaka Sentral, sebuah pusat terminal bas dan teksi di tengah-tengah bandar Melaka yang beroperasi sejak lapan tahun lalu, turut menempatkan pasar basah
terbesar di negeri ini. 

Najib sempat melawat dan bersalaman serta bertanya khabar kepada peniaga yang menjual ikan, daging, sayuran dan keperluan lain. 

Beliau kemudian ke tingkat dua pasar itu yang menempatkan gerai minuman dan makanan serta bersarapan kira-kira 15 minit bersama-sama pengunjung. 

Antara pengunjung bertuah ialah seorang warganegara Singapura, Abdul Rahim Ahmad, 54, yang sangat gembira kerana berpeluang duduk semeja untuk bersarapan bersama Perdana Menteri. 

"Saya tidak sangka tuah saya untuk duduk bersebelahan Datuk Seri Najib pada pagi ini... saya sangat teruja," kata Abdul Rahim yang berasal dari Bukit 
Panjang dan bertugas sebagai kerani di sebuah syarikat swasta di republik itu. 

Beliau yang kerap berulang ke Melaka pada hujung minggu kerana berniaga kain di sini, berkata beliau tiba di gerai itu seawal pukul enam pagi semata-mata ingin menatap wajah Perdana Menteri. 

Turut berkongsi meja bersarapan bersama Najib ialah seorang anggota veteran Wanita UMNO, Bayah Sidek, 72. 

"Makcik tak sangka dipilih oleh pihak urusetia untuk duduk bersama Perdana Menteri...ini satu kenangan istimewa untuk bersarapan bersama beliau," katanya yang berasal dari Pantai Kundur, di sini. 

No comments:

Post a Comment