My Add

Tuesday 5 June 2012

Pengundi Selangor tak perlu layan pemeriksaan daftar PKR

KUALA LUMPUR, SELASA, 05 Jun, 2012: Rakyat Selangor disaran supaya tidak melayan sebarang pemeriksaan daftar pengundi dari rumah ke rumah yang dilakukan kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor melalui Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK). 

Pengerusi Biro Politik dan Governan Majlis Perundingan Melayu (MPM), Datuk Seri Dr Mohd Hilmi Ismail, berkata kerajaan negeri tidak berhak melakukan pemeriksaan itu kerana ia di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"(Semakan daftar pengundi) bukan kerja orang awam, kerajaan negeri atau parti, ia kerja SPR. Bagi saya tindakan ini adalah taktik pembangkang yang nak mencari helah untuk memperlecehkan SPR.

"Pembangkang nak cari salah siap-siap supaya bila mereka tewas pilihan raya umum nanti ada alasan untuk mereka tuduh SPR tak telus dan sebagainya," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini. 

Mohd Hilmi juga meminta pihak pembangkang supaya bersikap sebagai orang yang budiman dalam menghadapi pilihan raya umum dengan mematuhi segala peraturan yang ditetapkan. 

Baru-baru ini kerajaan negeri Selangor mengumumkan pelaksanaan program "Selangorku Bersih" bagi membersihkan senarai daftar pengundi secara besar-besaran dengan pembabitan masyarakat setempat. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment