My Add

Thursday, 21 June 2012

Qobin berjaya laksana Ekspedisi 7 Puncak, 7 Benua, 7 Nilai

*QOBIN (kanan) bersama pendaki yang lain ketika tiba di KLIA, hari ini selepas menamatkan misi Ekspedisi 7 Puncak, 7 Benua, 7 Nilai. - Foto Mohd Fadli Hamzah

SEPANG, KHAMIS, 21 Jun, 2012: Pendaki negara, Muhammad Muqharabbin Mokhtharuddin atau Qobin berjaya menamatkan misi terakhir Ekspedisi 7 Puncak, 7 Benua, 7 Nilai, dengan menawan Gunung Elbrus, gunung tertinggi di benua Eropah, pada 13 Jun lalu.

Ia adalah percubaan kali ketiga Qobin, 30, untuk menawan puncak Elbrus selepas dua kali gagal menaklukinya tahun lepas akibat masalah cuaca.

Kejayaan itu sekaligus menjadikan beliau antara 400 pendaki terawal di dunia yang menamatkan ekspedisi tujuh puncak tujuh benua.

Bercakap kepada pemberita sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini, beliau berkata, kejayaan itu adalah hadiah istimewa untuk rakyat Malaysia serta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang banyak memberi sokongan kepada usaha berkenaan.

"Pendakian kali ini juga dipermudahkan dengan bantuan Allah SWT. Cuaca dan kesihatan juga baik. Lapan daripada 19 pendaki berjaya menamatkan misi ini dan selebihnya tidak dapat meneruskan pendakian akibat perjalanan yang masih panjang dan faktor kesihatan," katanya yang berlepas ke luar negara pada 7 Jun.

Qobin memulakan pendakian beliau di Gunung Everest (Benua Asia), gunung tertinggi di dunia pada tahun 2004 dan menyempurnakan baki pendakian di enam puncak di enam benua yang lain pada 2010 hingga 2012.

Ekspedisi 2010 bermula di gunung Kilimanjaro (Benua Afrika), gunung Kosciousko (benua Australasia), Gunung Aconcagua, Argentina (Benua Amerika Selatan), Gunung Vinson Massif, Antartika dan gunung Mc Kinley, Alaska di benua Amerika Utara pada tahun lepas.

Antara cabaran yang ditempuhi sepanjang pendakian adalah terpaksa berhadapan dengan ribut salji, menempuhi pendakian yang panjang selama 20 jam, rekahan salji, karenah birokrasi, perbezaan bahasa, cuaca yang tidak menentu serta mengalami kecederaan fizikal.

Sementara itu, beliau yang juga Presiden Kelab Eksplorasi 7 Benua Malaysia sedang giat melatih beberapa pendaki muda termasuk atlet pejalan kaki negara Siti Hanisah Sharuddin untuk mendaki puncak Gunung Everest dari sebelah Tibet pada tahun depan dan tujuh puncak lainnya dalam masa dua tahun.

"Kami akan membantu dan memberi dorongan kepada dua rakan yang ingin mendaki Gunung K2 iaitu gunung paling bahaya dan kedua tertinggi di dunia. Mendaki gunung K2 adalah antara impian paling dahsyat kebanyakan pendaki," katanya.

Mengenai perancangannya selepas ini Qobin berkata selain menguruskan mereka yang ingin mendaki gunung, beliau juga akan menumpukan perhatian kepada perniagaan, menguruskan program-program melibatkan belia dan memberi motivasi kepada rakyat Malaysia.

"Saya juga akan melatih seramai 12 anak muda untuk berenang di selat Inggeris. Tetapi kalau ada peluang untuk mendaki selepas ini, saya akan lakukan lagi tetapi ia bergantung kepada kelapangan saya," katanya.

Sementara itu, Siti Hanisah, 22, yang menjadi wanita pertama Malaysia yang berjaya mendaki gunung Elbrus menyifatkan ia adalah pengalaman yang amat berharga kepadanya kerana ini kali pertama beliau menyertai misi itu.

"Cabaran untuk naik itu banyak memandangkan ini cubaan kali pertama. Antaranya terpaksa melalui laluan yang sempit dan mengharungi jurang yang tinggi dan dalam," katanya yang berkhidmat dengan Tentera Laut Diraja Malaysia.

Mengenai persediaan untuk mendaki gunung Everest, beliau berkata latihan pendakian akan dilakukan bermula di gunung Kilimanjaro pada Oktober ini serta gunung Aconcagua pada Januari depan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment