My Add

Thursday 21 June 2012

Rebut peluang di Panama

*INDUSTRI pembinaan di Panama berkembang pantas terutama meningkatnya permintaan untuk rumah kediaman.

KUALA LUMPUR, RABU, 20 Jun, 2012: Panama menawarkan peluang perniagaan yang besar kepada para pembekal bahan binaan tempatan termasuk pembekalan bahan pemasangan, paip, lampu, produk kayu, bahan lantai, bahan perkakasan dan pembinaan berinovatif.

Pesuruhjaya Perdagangan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Remee Yaakub berkata, ini kerana jangkaan peningkatan permintaan di kalangan rakyat negara itu untuk membeli rumah kediaman yang masih kurang.

"Ketersediaan opsyen pembiayaan termampu, yang disokong oleh kerajaan, akan turut menyumbang kepada sasaran itu," katanya dalam satu kenyataan.

Peningkatan unit hartanah di Panama telah juga membuka peluang bagi pembekalan perabot kediaman yang menampung segmen kelas rendah dan pertengahan, barangan isi rumah, serta peralatan rumah, kata Remee, yang turut ditauliahkan ke tujuh negara Amerika Tengah, iaitu Costa Rica, Guatemala, Nicaragua, Panama, Belize, Honduras dan El Salvador.

Matrade berkata, Panama kini memerlukan 136,665 rumah, di mana 33 peratus atau 44,075 unit dikenal pasti di Wilayah Panama, yang menempatkan ibu negara Panama City.

Agensi penggalakan perdagangan dan pelaburan itu berkata Majlis Penggalakan Perumahan Negara Panama menyatakan jualan rumah di Panama tahun ini dianggarkan mencecah 7,429 unit bernilai AS$665.36 juta.

"Ini merupakan peningkatan 18.6 peratus berbanding 6,265 unit tahun lepas," katanya.

Eksport keseluruhan Malaysia ke Panama berjumlah AS$159.46 juta pada tahun lepas manakala import keseluruhan dicatatkan AS$41.46 juta.

Produk elektrik dan elektronik (E&E), jentera, peralatan dan alat ganti serta produk kayu merangkumi 75.4 peratus daripada keseluruhan eksport Malaysia ke Panama. — BERNAMA

No comments:

Post a Comment