My Add

Friday 22 June 2012

RM1 juta jalan kajian pendidikan Orang Asli

KUALA LIPIS, KHAMIS, 21 Jun, 2012: Kementerian Pelajaran memperuntukkan RM1 juta bagi menjalankan kajian dan penyelidikan berkaitan pendidikan Orang Asli dalam usaha meningkatkan kualiti kehidupan kaum itu.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tanggungjawab itu akan dilaksanakan oleh Pusat Kecemerlangan Pedagogi Pribumi Kebangsaan, Institut Pendidikan Guru Kampus Tengku Ampuan Afzan di sini.

Katanya, tujuan kajian itu bagi memastikan tidak ada anak-anak Orang Asli yang ketinggalan atau terpinggir dalam arus pendidikan perdana.

"Pendidikan awal dalam kalangan anak-anak Orang Asli turut diberikan perhatian utama oleh kerajaan dalam sistem pendidikan negara di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) supaya kecemerlangan pendidikan masyarakat berkenaan dapat ditingkatkan.

"Dalam konteks meningkatkan pencapaian prestasi sekolah-sekolah Orang Asli, kita akan merangkakan program yang bersesuaian seperti Kelas Bimbingan Khas bagi meningkatkan Literasi dan Numerasi (LINUS).

"Kita juga berharap dapat memberikan pendidikan awal kepada anak-anak Orang Asli dari usia empat dan lima tahun," kata Muhyiddin.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian ketika berucap melancarkan Transformasi Pendidikan Orang Asli Kebangsaan di Sekolah Kebangsaan Betau, dekat sini hari ini.

Menurut beliau, program Transformasi Pendidikan Orang Asli yang diumumkan hari ini diharap dapat membawa perubahan pendidikan yang menyeluruh kepada mereka.

Pada majlis itu, Muhyiddin turut mengumumkan peruntukan RM5 juta bagi menyediakan pelbagai kemudahan asas seperti pengangkutan bas dan kenderaan pacuan empat roda bagi membolehkan murid-murid Orang Asli menjalani pelbagai aktiviti persekolahan dengan lebih berkesan.

Sebanyak RM10 juta lagi turut diperuntukkan bagi meningkatkan kebajikan dan keperluan guru-guru termasuk membina serta menaik taraf kediaman mereka yang mengajar di kawasan pedalaman.

Muhyiddin pada majlis itu turut meluluskan peruntukan RM700,000 bagi membaik pulih dan menaik taraf enam buah sekolah Orang Asli di kawasan Parlimen Cameron Highlands. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment