BUKIT MERTAJAM, KHAMIS, 21 Jun, 2012: Usahawan muda disaran memainkan peranan untuk mencari jalan dalam meneroka peluang perniagaan baru ke arah menjadikan negara ini terus dinamik dan mampu bersaing dalam ekonomi berasaskan pengetahuan pada hari ini.
Pada masa sama kerajaan akan berfungsi sebagai fasilitator yang membimbing mereka selain menyediakan pelbagai peluang dan ruang bagi membolehkan sektor swasta menjadi enjin kepada pembangunan negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata, usahawan muda juga harus belajar pemikiran baru serta cabaran yang akan ditempuhi dalam perniagaan selain bertukar idea serta mendekatkan diri mereka dengan pihak yang telah berjaya.
"Apa yang penting ialah mereka diberi prospek dan peluang untuk meneroka pelbagai peluang perniagaan terutama dalam bidang yang baru membangun yang difokuskan dalam Program Transfromasi Ekonomi Negara.
"Dalam usaha mencari lebih ramai usahawan muda yang benar-benar memiliki semangat keusahawanan, kita perlu menggalakkan pembangunan serta semangat sejak di peringkat bawah lagi," katanya ketika berucap merasmikan Simposium Keusahawanan Muda Malaysia di sini hari ini.
Simposium dua hari itu menampilkan beberapa tokoh utama seperti Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SMECorp Pulau Pinang, Tajul Arifin Jamaluddin, CEO TERAJU Husni Salleh, Pengarah Urusan Alam Ventures Sdn. Bhd. Datuk Seri Abdul Aziz Abdul Rahman dan ramai lagi.
Nor Mohamed yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor menambah, peserta simposium itu perlu menggunakan peluang untuk berkongsi maklumat dan menimba pengalaman daripada para pembentang kertas kerja yang berkaliber dalam program itu. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment