My Add

Friday, 1 June 2012

Semua siswazah SL1M dapat kerja

*NOR Mohamed Yakcop (tengah) bermesra dengan penerima sijil penghargaan pada Majlis Perhimpunan Bulanan Unit Perancang Ekonomi di Putrajaya, semalam.

PUTRAJAYA, KHAMIS, 31 Mei, 2012: Hampir 100 peratus siswazah menganggur yang memasuki Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) berjaya mendapat pekerjaan selepas mengikuti program tersebut.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata, daripada jumlah itu, 93 peratus lepasan skim berkenaan mendapat pekerjaan sejurus tamat latihan.

Katanya, tujuh peratus lagi kumpulan siswazah berkenaan tidak bermasalah mendapat pekerjaan bagaimanapun ia lewat sedikit.

"Melalui program ini, siswazah yang gagal mendapatkan pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian akan diberikan kemahiran softskill seperti kemahiran komunikasi serta teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

"Pencapaian ditunjukkan peserta SL1M amat membanggakan jika dahulunya kelihatan kurang berkeyakinan, kini mereka sudah berani untuk berucap di khalayak ramai," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Perhimpunan Bulanan Unit Perancang Ekonomi (EPU), di sini hari ini.

Di bawah skim yang dilancarkan pada Jun tahun lepas itu, siswazah yang gagal mendapat kerja dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian berpeluang menerima latihan dengan syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC) selama setahun.

Mereka juga layak menerima elaun minimum RM1,000 sebulan sepanjang tempoh latihan tersebut dan akan dibantu untuk mencari kerja tetap selepas tamat latihan SL1M.

Nor Mohamed berkata, setiap tahun kira-kira 90,000 siswazah tamat pengajian di universiti dan 70,000 daripada mereka berjaya mendapat kerja dalam tempoh enam bulan selepas itu.

"Bagaimanapun, 20,000 lagi gagal mendapat kerja selepas tempoh tersebut sama disebabkan kekurangan beberapa aspek termasuk tiada kemahiran berkomunikasi dan tiada keyakinan.

"Buat masa ini terdapat 8,265 siswazah mengikuti SL1M," katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, tahap pengangguran dalam kalangan belia berumur 15 hingga 25 tahun hanya di sekitar tiga peratus sahaja.

Beliau menambah, situasi itu lebih baik jika dibandingkan dengan kadar pengangguran di Greece yang mencecah sehingga 50 peratus pada lingkungan umur sama.

Sementara itu, Nor Mohamed menasihatkan, graduan yang baru mendapatkan pekerjaan tidak mengamalkan budaya trend melompat kerja.

Beliau berkata, bertukar kerja untuk mendapatkan peningkatan kerjaya yang lebih baik adalah sesuatu yang bagus.

"Tetapi biarlah selepas tiga atau empat tahun apabila pada masa itu mereka sudah mempunyai pengalaman, jaringan dan pengetahuan yang cukup untuk ke tempat lain," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment