My Add

Friday 1 June 2012

Galakan terbit filem cereka, mini siri TV Malaysia-Indonesia

*RAIS menyaksikan pertukaran plak antara Presiden Pengarah Wanna B Music Production, Naldy Nazar Haroen (kanan) dengan Pengerusi Finas, Datuk Md. Afendi Hamdan pada pelancaran Kolobrasi Perfileman Malaysia-Indonesia di Jakarta, semalam. - BERNAMA

JAKARTA, KHAMIS, 31 Mei, 2012: Malaysia akan memperkenalkan beberapa galakan bagi penerbitan filem secara bersama oleh syarikat penerbitan dari Malaysia dan Indonesia.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, galakan itu yang akan dinikmati pengeluar filem cereka dan penerbit mini siri televisyen bertujuan memajukan industri filem, sekali gus menjalin hubungan lebih rapat dalam bidang seni dan budaya antara kedua-dua negara.

"Sebahagian galakan ini akan diberi menerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) manakala sebahagian lagi menerusi Akta Komunikasi dan Multimedia.

"Misalnya, dalam lesen boleh disyaratkan nisbah tayangan mini siri (di TV) yang boleh disiarkan menerusi penerbitan bersama ini," katanya pada sidang akhbar selepas acara perbincangan dengan pengusaha filem Indonesia, di sini hari ini.

Rais berkata, syarat nisbah tayangan itu bagaimanapun akan tertakluk kepada beberapa syarat lain seperti harga patut, cerita berkenaan mesti menarik, mesti berkaitan dengan masyarakat kedua-dua negara dan jika orang ramai berpandangan cerita mini siri itu tidak menarik, penyiar berhak menarik balik.

Beliau yakin usahasama dan galakan ini akan melahirkan satu vista baru dalam dunia perfileman kedua-dua negara.

Rais sebelum itu menyaksikan pembentukan Kolaborasi Filem Malaysia-Indonesia (Kofi Malindo) yang bertujuan mendorong semula pengusaha filem Indonesia yang bernaung di bawah Persatuan Perusahaan Filem Indonesia (PPFI) dengan pengusaha filem Malaysia yang bernaung di bawah Finas dalam kegiatan penerbitan filem bermutu dengan latar belakang budaya dua bangsa serumpun.

Kofi Malindo dibentuk hari ini bersamaan dengan tayangan filem bertajuk Gerimis Mengundang di 80 pawagam di Indonesia.

Filem Gerimis Mengundang yang diterbitkan oleh Erama Creative Sdn. Bhd. dan diarahkan oleh pengarah Ahmad Idham Ahmad Nadzri itu, pada hari ini ditayangkan serentak di empat negara iaitu Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei.

Rais berkata, kementeriannya akan mewujudkan jawatankuasa pemantauan di bawah Finas untuk membantu penerbit filem Indonesia yang berhasrat membuat filem di Malaysia.

"Saya juga berbincang dengan rakan sejawatan di Indonesia mengenai kerjasama di peringkat kerajaan dalam usaha memajukan industri filem dan industri kreatif di kedua-dua negara untuk faedah bersama," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment