My Add

Sunday 24 June 2012

Tasik Kenyir ragut nyawa kontraktor

HULU TERENGGANU, AHAD, 24 Jun, 2012: Keriangan seorang kontraktor untuk memancing di Sungai Tetuang, Tasik Kenyir bertukar tragedi apabila mangsa terjatuh dari bot sebelum dijumpai lemas di sini petang semalam.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Supritendan Mohd. Ismail Muslim berkata, mangsa, Tan Thung Foo, 40, seorang kaki pancing dari Selangor pergi ke sungai berkenaan untuk memancing bersama seorang rakannya berusia 37 tahun pada kira-kira pukul 2.45 petang.

Katanya, mangsa ke tempat tersebut dengan menaiki bot yang dikemudi oleh rakannya dan apabila sampai di tempat kejadian, mangsa cuba mengikat bot berkenaan pada tunggul kayu di tengah tasik tetapi terjatuh kerana gagal mengimbangi badan.

"Kita dimaklumkan mangsa memakai jaket keselamatan tetapi ia hanya disangkut di badan dan tidak diikat dengan kemas menyebabkan hanya jaket tersebut dan topi mangsa timbul selepas mangsa terjatuh," katanya.

Beliau berkata, selepas melihat mangsa tenggelam, rakannya panik dan tidak mampu berbuat apa-apa tetapi cuba mendapatkan bantuan melalui telefon namun ia agak sukar memandangkan lokasi berkenaan adalah di luar rangkaian talian. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment