![]() |
*AHMAD Zahid Hamidi memberi tabik hormat dalam majlis perpisahan bekas Menteri Pertahanan itu di Kuala Lumpur, semalam. - BERNAMA |
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu akan dilakukan melalui fasa NBOS seterusnya, melibatkan 17 perkara yang dipersetujui oleh dua kementerian terbabit sebelum ini.
"NBOS yang dipersetujui antara Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pertahanan harus diteruskan dan bukan suatu mustahil untuk dijayakan, lebih-lebih lagi dengan kehadiran Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (Menteri Pertahanan).
"Insya-Allah pihak kementerian akan melancarkan strategi-strategi baharu yang akan diumumkan tidak lama lagi," katanya selepas majlis perpisahan beliau yang dianjurkan Kementerian Pertahanan di Jalan Padang Tembak di sini hari ini.
NBOS merupakan inisiatif kerajaan untuk meningkatkan sistem penyampaian kepada rakyat melalui kesepakatan antara pelbagai kementerian, jabatan dan agensi yang memfokuskan kepada hasil yang memberi impak tinggi, kos minimum dan pelaksanaan dengan kadar segera.
Program itu mencapai kemuncaknya apabila Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjadi tulang belakang kepada kejayaan Ops Daulat di Sabah.
Sementara itu, dalam majlis tersebut, Ahmad Zahid diberi penghormatan untuk memeriksa barisan Kawalan Kehormat Utama sebelum beliau mengakhiri tugas sebagai sebagai Menteri Pertahanan.
Turut melakukan demikian ialah bekas Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad. Majlis itu diiringi Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Dr. Ismail Ahmad dan panglima ketiga-tiga perkhidmatan.
Turut hadir ialah Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid turut meluahkan harapan agar Menteri Pertahanan baharu akan memberi kesinambungan pencapaian 'lima bintang' yang dicapai Kementerian Pertahanan sejak kementerian itu diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak lagi.
Katanya, antara kecemerlangan yang dicapai adalah memperoleh petunjuk prestasi utama (KPI) sebanyak 109 peratus dalam tempoh kurang empat tahun.
"Kita telah meletakkan Kementerian Pertahanan ke landasan yang betul dan itu merupakan kesinambungan terhadap kepimpinan Perdana Menteri ketika beliau menjadi Menteri Pertahanan semenjak 14 tahun lalu.
"Saya ketika itu menjadi setiausaha politiknya, apa yang saya lakukan adalah kesinambungan yang diletakkan oleh Najib. Saya mengharapkan Hishammuddin meneruskannya supaya ATM terus cemerlang," katanya.
Sebelum meninggalkan pekarangan Dataran Kementerian Pertahanan, Ahmad Zahid turut menzahirkan permohonan maaf kepada setiap anggota tentera selama menerajui kementerian terbabit.
"Kepada anak buah saya di setiap divisyen dan batalion serta yang bertugas di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom), saya harap anda akan teruskan semangat yang tinggi dalam mempertahankan tanah air ini," katanya. - UTUSAN

No comments:
Post a Comment