My Add

Thursday, 23 May 2013

Bahaya demonstrasi jalanan

KUALA LUMPUR, RABU, 22 Mei, 2013: Tun Dr. Mahathir Mohamad mengingatkan rakyat bahawa demonstrasi jalanan untuk menjatuhkan kerajaan tidak membawa sebarang faedah malah bakal membawa negara ke arah kehancuran.

Menurut bekas Perdana Menteri, rakyat seharusnya belajar daripada kesilapan 'Arab Spring' yang sehingga kini masih gagal menyelesaikan banyak perkara.

"Demonstrasi jalanan boleh menjatuhkan sesebuah kerajaan dan ini kita boleh lihat semasa Arab Spring. Tetapi kita juga harus tahu bahawa untuk membentuk kerajaan baharu bagi menggantikan kerajaan sedia ada bukanlah sesuatu yang mudah.

"Akan ada pihak yang sentiasa tidak bersetuju dengan kerajaan baharu sama ada yang dipilih secara demokrasi atau sebaliknya. Yang kalah mendapat kuasa akan sentiasa menuduh pemenang sebagai penipu dan mendesak diadakan pilihan raya baharu atau kiraan semula undi," katanya seperti dipetik dalam blognya di http://chedet.cc hari ini.

Menurut Dr. Mahathir, jika permintaan pihak-pihak tertentu tidak dipersetujui mereka akan terus mengadakan demonstrasi jalanan sehingga berlaku keganasan dan ditambah dengan serangan serta gangguan.

Katanya, jika pilihan raya baharu dilakukan dan pihak yang kalah sebelum ini diisytiharkan menang perkara itu juga tidak akan membawa sebarang perubahan.

"Yang kalah pula akan kembali menuduh pemenang sebagai penipu. Mereka pula akan mengulangi apa yang dilakukan pihak yang kalah sebelum ini dan hasilnya kekacauan akan berterusan," tegasnya.

Beliau dengan nada sinis menyatakan hakikat itu adalah harga kecil yang perlu dibayar untuk menjatuhkan kerajaan menerusi demonstrasi jalanan yang disifatkan pihak tertentu sebagai tindakan demokrasi. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment