My Add

Saturday, 18 May 2013

MCPF mahu kerjasama dengan PDRM

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 17 Mei, 2013: Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) bersedia bekerjasama sepenuhnya dengan Ketua Polis Negara yang baharu, Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam aspek pencegahan jenayah.

Naib Presidennya, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, pihaknya turut menyeru seluruh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya memberi sokongan padu kepada Khalid dalam melaksanakan tanggungjawab tersebut.

Beliau berkata, tanggungjawab yang dipikul Khalid dan timbalannya, Datuk Seri Mohd. Bakri Zinin sememangnya berat dan ia tidak boleh dipikul tanpa sokongan warga PDRM.

Bagaimanapun ujarnya, MCPF yakin Khalid akan meneruskan kesinambungan kerja yang dilaksanakan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar.

"MCPF dan rakyat tidak perlu berasa sangsi dengan kewibawaan beliau bagi menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih selamat," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah Lam Thye, pengambilalihan jawatan Ketua Polis Negara sekarang adalah sangat kritikal iaitu di saat orang ramai begitu memberi perhatian kepada soal jenayah dan keselamatan.

Katanya, Khalid turut berdepan dengan tugasan yang lebih mencabar apabila perlu berhadapan dengan persepsi negatif orang ramai terhadap usaha-usaha polis mengurangkan kadar jenayah serta harapan terhadap pasukan tersebut.

Beliau berkata, antara cabaran yang utama Khalid adalah menjadikan PDRM sebagai pasukan profesional bertaraf dunia dengan penuh integriti dan dibanggakan; mengukuhkan keyakinan, kepercayaan serta menghormati orang ramai kepada pasukan keselamatan itu.

"Khalid juga berdepan cabaran untuk menggiatkan penglibatan orang awam bersama polis bagi menangani persepsi negatif serta menumpukan perhatian kepada pengumpulan maklumat dalam tugasan pencegahan jenayah dan meneliti semula undang-undang yang telah dimansuhkan bagi membantu polis dalam meningkatkan kecekapan untuk memerangi jenayah," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment