My Add

Tuesday, 21 May 2013

Karpal beri amaran akhir kepada Tunku Aziz

PULAU PINANG, ISNIN, 20 Mei, 2013: Pengerusi DAP, Karpal Singh memberi amaran kedua kepada bekas Naib Pengerusi parti itu, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim supaya menghentikan perbuatan mendedahkan kepincangan parti berkenaan.

Karpal menerusi kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini berkata, beliau sudah cukup bersabar dengan tindakan Tunku Abdul Aziz yang menyerang DAP secara berterusan.

"Sudah setahun saya memerhatikan tingkah lakunya terhadap DAP dan saya bersabar sahaja. Bagaimanapun, kali ini cukuplah, saya tidak akan berdiam diri lagi.

"Bersesuaian kedudukan selaku Pengerusi DAP, saya memberi amaran kepada beliau supaya segera berhenti menyerang parti ini atau bersedia menghadapi tindakan undang-undang," katanya.

Semalam, Karpal dalam sidang akhbar meminta bekas Naib Presiden Transparency International itu supaya berhenti mendedahkan cerita yang menjadi rahsia dalaman parti kepada umum atau bersedia dikenakan tindakan undang-undang oleh DAP.

Bagaimanapun, Tunku Abdul Aziz dalam reaksi segera berkata, beliau tidak akan tunduk kepada Karpal dan akan terus membuat pendedahan tentang DAP.

Seolah-olah melepaskan geram terhadap 'kedegilan' Tunku Abdul Aziz, Karpal yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor turut 'mengungkit' pencen yang diterima oleh Tunku Abdul Aziz.

"DAP adalah saluran politik yang membolehkan beliau menerima pencen bulanan selepas dilantik menjadi Senator tetapi kini Tunku Abdul Aziz memilih untuk menikam kami dari belakang secara berterusan.

"Beliau menjadi Ahli Dewan Negara sebagai wakil DAP yang diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang tetapi menyerang kami dengan tuduhan tidak berasas," ujarnya.

Sementara itu, Karpal turut mendakwa Tunku Abdul Aziz tersalah tafsir mengenai demonstrasi jalanan dan rusuhan dengan nama Malaysia Spring yang didakwa ada kaitan dengan DAP.

"Beliau tersilap membandingkan rujukan Penasihat Seumur Hidup DAP, Dr. Chen Man Hin mengenai Malaysia Spring dalam bentuk gelombang revolusi demonstrasi ganas seperti yang berlaku di Tunisia, Mesir, Libya dan Yemen,'' ujarnya.

Karpal berkata, apa yang disampaikan Man Hin sebenarnya adalah 'gembira' untuk mengambil bahagian dalam bantahan secara duduk yang boleh menjadi permulaan kepada 'musim bunga' di negara ini.

"Jika kenyataan itu merujuk kepada demonstrasi ganas, mengapa Tunku Abdul Aziz tidak membuat laporan polis segera ketika itu?," soalnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment