SOSMA: Yazid Sufaat, 2 rakan bebas
KUALA LUMPUR, ISNIN, 20 Mei, 2013: Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepas dan membebaskan bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Yazid Sufaat dan dua rakannya daripada pertuduhan menggalakkan keganasan untuk memajukan ideologi dengan niat mengugut orang awam di Syria, tahun lalu.
Hakim Kamardin Hashim memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan ketiga-tiga tertuduh termasuk Muhammad Hilmi Hasim, 33, dan Halimah Husein, 52, untuk membatalkan pertuduhan berkenaan.
Beliau berkata, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) di bawah Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan yang hanya terpakai bagi ancaman keganasan yang dituju kepada keselamatan dalam negeri oleh orang atau sekumpulan orang yang berada di dalam dan di luar Malaysia.
Saya berpuas hati terdapat merit dalam penghujahan oleh pihak peguam pemohon berhubung isu pertuduhan dan pemakaian SOSMA yang digubal di bawah Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan, kata beliau.
Hakim Kamardin berkata, oleh kerana pertuduhan terhadap ketiga-tiga tertuduh melibatkan keganasan di Syria maka ia tidak tertakluk dalam ruang lingkup dan skop pemakaian Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan.
Oleh itu, SOSMA tidak terpakai sebagai prosedur untuk membuktikan pertuduhan terhadap ketiga-tiga pemohon, ujar hakim tersebut.
Menurut beliau, jika undang-undang itu digunakan bermakna SOSMA telah diguna pakai secara ultra vires (melampaui bidang kuasa) yang sewajarnya tidak berlaku dan jika pendakwaan diteruskan di bawah prosedur SOSMA, ia telah menyalah guna proses mahkamah.
Katanya, mahkamah dengan jelas dan nyata menggunakan budi bicara sedia ada untuk membenarkan notis usul permohonan.
Mahkamah memerintahkan pertuduhan terhadap ketiga-tiga pemohon dibatalkan atau diketepikan atau digantung selama-lamanya dan mereka dilepas serta dibebaskan daripada pertuduhan, kata Hakim Kamardin.
Yazid, 49, yang bekerja sebagai pengusaha kafeteria, bersama-sama Muhammad Hilmi dan Halimah merupakan tertuduh pertama yang ditahan di bawah SOSMA yang tidak membenarkan sebarang ikat jamin terhadap tertuduh sejak akta itu berkuat kuasa pada 31 Julai 2012.
Sejurus selepas penghakiman itu selesai dibacakan, Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Wahab Mohamed memohon mahkamah terus menahan reman ketiga-tiga tertuduh sehingga notis rayuan dikemukakan di Mahkamah Rayuan.
Bagaimanapun, Hakim Kamardin menolak permohonan itu dan dalam masa yang sama mengarahkan pihak pendakwaan meneruskan proses rayuan.
Sebaik sahaja prosiding berakhir, ketiga-tiga tertuduh dilihat melakukan sujud syukur di dalam kandang tertuduh dan dikerumuni oleh ahli keluarga masing-masing sebelum mereka bergegas meninggalkan mahkamah.
Pada awal prosiding, peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili ketiga-tiga tertuduh berkata, Perkara 149 Perlembagaan dan SOSMA hanya diperuntukkan bagi ancaman yang memudaratkan ketenteraman awam di Malaysia.
Katanya, bagi pertuduhan tersebut, ketiga-tiga tertuduh didakwa mengugut orang awam di Syria dan akta berkenaan tidak boleh diguna pakai oleh pihak pendakwaan.
Abdul Wahab dalam hujah balasnya menegaskan, tidak timbul isu SOSMA boleh diguna pakai bagi kesalahan dalam negara atau terhad di Malaysia kerana keganasan adalah satu kesalahan bersifat global dan tanpa batasan.
Katanya, ketiga-tiga tertuduh menjadikan Malaysia sebagai sarang pengganas dan membahayakan keselamatan negara.
Yazid didakwa menggalakkan keganasan untuk memajukan ideologi dengan niat mengugut orang awam di Syria manakala Halimah, suri rumah dan Muhammad Hilmi yang bekerja sebagai pembantu kafeteria didakwa bersubahat dengan Yazid melakukan perbuatan tersebut.
Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di rumah beralamat DL 11, Taman Bukit Ampang, Lorong Mutiara 2, Lembah Jaya, Ampang dekat sini antara pukul 8.30 pagi dan 10.30 pagi, antara 1 Ogos dan 20 Oktober 2012.
Pertuduhan terhadap Yazid dikemukakan mengikut Seksyen 130G(a) Kanun Keseksaan manakala Halimah dan Muhammad Hilmi pula didakwa mengikut seksyen tersebut yang dibaca bersama Seksyen 109 kanun sama kerana bersubahat.
Seksyen 130G(a) kanun tersebut memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Pihak pendakwaan turut diwakili oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria dan Ishak Mohamad Yusof manakala tertuduh-tertuduh turut diwakili peguam Edmund Bon. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment