My Add

Saturday, 18 May 2013

Kerajaan gerak usaha bagi perkukuh umat Islam - Jamil Khir


 *JAMIL Khir Baharom (kiri) bersalaman dengan orang ramai selepas menyampaikan khutbah dan menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Ihsan, Kampung Berjaya, Jeniang di Gurun, Kedah, semalam.
JERAI, JUMAAT, 17 Mei, 2013: Kerajaan akan menggerakkan usaha mencari titik pertemuan dalam menyatupadukan umat Islam negara ini yang berbeza fahaman politik termasuk menerusi institusi agama Islam bagi menjamin kelangsungan dan kekuatan ummah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, umat Islam tidak boleh terus mengheret semangat perpecahan semasa Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu kerana ia boleh mengakibatkan mereka menjadi lemah.

"Cabaran lebih dalam ialah bagaimana kita ingin melihat rakyat Malaysia dapat melupakan perbezaan ideologi semasa PRU-13 dan penyatuan ummah pada masa akan datang.

"Jika kita mengheret terus semangat perpecahan kerana semasa pilihan raya umum itu ada panas sehingga menggelegak sesuatu isu, maka umat Islam akan terpisah dan berpecah yang sekali gus membawa kepada kelemahan," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Kesyukuran PRU-13 di Masjid Al-Ihsan Kampung Berjaya, Gurun di sini hari ini.

Sempena majlis itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Jerai turut menyampaikan khutbah Jumaat dan mengimamkan solat Jumaat di masjid berkenaan.

Ia merupakan khutbah Jumaat pertama beliau selepas mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Di Jabatan Perdana Menteri dalam Kabinet Kerajaan Persekutuan semalam.

Menurut Jamil Khir, beliau akan mengelilingi negara untuk bertemu ketua pentadbir di setiap negeri ke arah mencari titik pertemuan dalam menyatupadukan umat Islam negara ini.

Katanya, Isnin ini beliau akan menemui Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir dan keesokannya pula dijadual berjumpa dengan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob diikuti ke negeri-negeri lain selepas itu.

"Saya akan pusing satu Malaysia kerana di sana kita hendak meletakkan satu perbincangan dan hasrat bagaimana kita ingin memperkasakan institusi agama yang sekali gus menyatupadukan umat Islam," ujarnya.

Dalam pada itu, Jamil Khir berkata, sebagai Ahli Parlimen Jerai yang baharu, beliau bukan sahaja ingin melihat kawasan diwakilinya itu mengalami pembangunan fizikal tetapi melibatkan pembangunan modal insan.

Berikutan itu, kata beliau, peranan masjid disemarakkan bagi memastikan aktiviti program keagamaan dan membangunkan modal insan diteruskan dengan sebaik mungkin.

"Kita mahu lihat penggarapan pembangunan ini berjalan dengan sistem, silibus dan tenaga pengajar yang akan dibangunkan secara bersama nanti.

"Kita susun supaya mempunyai satu silibus yang seragam di semua masjid sebab kadang-kadang mungkin wujud perbezaan pengajaran dalam kalangan jemaah," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment