![]() |
Menteri Pelajaran dan Pengajian Tinggi II, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, kementeriannya juga akan memastikan sistem pendidikan negara bertaraf dunia di samping pelaksanaan sistem pendemokrasian pendidikan agar masyarakat luar bandar turut menikmati pendidikan yang lebih baik dan sempurna.
Beliau menjelaskan, pada masa sama, pihaknya akan lebih komited untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris selain peranan guru-guru serta ibu-bapa juga perlu dipertingkatkan.
"Kita akan lihat dalam konteks lebih besar bagaimana kementerian ini boleh menyatupadukan rakyat Malaysia serta memastikan sistem pendidikan kita adalah terhebat dan bertaraf dunia," katanya kepada pemberita sejurus tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud dari Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Dalam pembentukan Kabinet baharu yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kelmarin, Idris dilantik sebagai Menteri Pelajaran Pengajian Tinggi II di kementerian baharu yang menggabungkan dua portfolio di bawah satu bumbung.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula dilantik sebagai Menteri Pelajaran dan Pengajian Tinggi manakala Datuk Mary Yap Kain Ching dan P. Kamalanathan masing-masing dilantik sebagai Timbalan Menteri.
Idris seterusnya memberi jaminan, beliau juga akan memberi penekanan bukan hanya dalam membangunkan akademik semata malah juga peningkatan akhlak para pelajar.
Jelasnya, langkah itu penting kerana pencapaian akademik yang tinggi tanpa akhlak yang baik tidak mampu membawa kesejahteraan kepada masyarakat.
"Saya akan beri penekanan kepada konteks akhlak itu sendiri supaya bila kita bangunkan masyarakat, kita boleh lihat warganegara lebih bertanggungjawab untuk kemajuan masyarakat keseluruhannya," ujarnya.
Ditanya mengenai jawatannya sebagai Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Idris berkata, beliau kini tidak lagi terlibat dengan agensi itu kerana telah meletakkan jawatannya sebagai pengerusi pada hari penamaan calon, 20 April lalu. - UTUSAN

No comments:
Post a Comment