My Add

Tuesday, 21 May 2013

Memartabat syiar Islam agenda berterusan kerajaan

SUNGAI PETANI, ISNIN, 20 Mei, 2013: Usaha memartabatkan syiar Islam adalah agenda berterusan kerajaan dan pihak lain tidak boleh mempertikaikannya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, ini kerana agenda transformasi kerajaan Barisan Nasional (BN) mengambil kira soal pembangunan ummah selain membawa kemajuan untuk semua rakyat berbilang kaum di negara ini.

“Pembangunan itu dilakukan secara berperingkat-peringkat agar rakyat sendiri gembira dalam mengecapi pelbagai kemudahan yang disediakan oleh kerajaan," katanya ketika berucap di hadapan lebih 200 petugas Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kawasan Parlimen Jerai sempena Majlis Penghargaan dan Kesyukuran di Hotel Suasana Harvard Gurun di sini hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Jerai berkata, segala masalah berkaitan umat Islam di setiap negeri juga akan diperkemaskan dari semasa ke semasa.

Bagaimanapun katanya, usaha tersebut boleh terjejas sekiranya umat Islam berbalah sesama sendiri.

“Saya sendiri merancang sesuatu yang lebih baik untuk menceriakan pembangunan di kawasan Parlimen Jerai, termasuk membina rumah mampu milik, dewan sukan dan pusat-pusat pengajian agar ekonomi penduduk terus berkembang maju," kata beliau.

Selain majlis perhargaan berkenaan, Jamil Khir juga mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir di Wisma Darul Aman, Alor Setar hari ini.

Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Othman Mustapha. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment