My Add

Wednesday, 1 May 2013

PRU-13: Pembangkang nafi hak masyarakat India - Hindraf

KUALA LUMPUR, SELASA, 30 April, 2013: Lima negeri yang ditadbir pembangkang didakwa gagal melaksanakan janji manifesto pilihan raya umum lalu apabila menafikan hak masyarakat India yang memberi sokongan penuh di atas kemenangan di negeri-negeri tersebut.

Malah, pembangkang bertindak kejam dengan merampas beberapa tanah masyarakat India dan menidakkan pelaksanaan pelan ekonomi dan tindakan Hindraf yang memperjuangkan nasib masyarakat miskin India.

Pengerusinya, P. Waythamoorthy berkata, pada pilihan raya umum lalu, Hindraf telah menyokong penuh pembangkang hingga berjaya menubuhkan lima kerajaan negeri.

“Kami pada masa itu amat berharap pembangkang akan melaksanakan pelan tindakan ekonomi Hindraf dan menyelesaikan masalah berkaitan isu tanah yang merupakan isu utama masyarakat India. Namun, perkara itu hanya sia-sia sebaliknya masyarakat India dikhianati dan tertipu dengan janji-janji manis mereka.

“Kita mengingatkan masyarakat India supaya tidak tertipu dan terpedaya dengan helah pembangkang yang telah mengkhianati kepercayaan yang diberikan pada pilihan raya umum lalu. Hindraf berharap masyarakat India membuka mata dan sama-sama memberi sokongan penuh kepada kerajaan Barisan Nasional (BN)," katanya dalam satu sidang akhbar di sini hari ini.

Yang turut hadir, timbalannya, W. Sambulingam.

Waythamoorthy berkata, sebagai contoh, kerajaan Pulau Pinang telah memanipulasikan fakta dan menipu penduduk Kampung Buah Pala yang terdiri daripada masyarakat India dengan merampas tanah mereka.

Katanya, pada kempen pilihan raya umum 2008, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah berjanji kepada penduduk di kawasan itu bahawa sebaik sahaja mereka menang di Pulau Pinang, beliau akan memberikan tanah tersebut kepada penduduk kampung itu.

“Ia jelas dilihat pada pentadbiran kerajaan negeri Kedah yang ditadbir pembangkang apabila mengambil keputusan merampas Tanah Perkuburan India di Ladang Batu Pekaka yang berusia lebih 100 tahun atas alasan ingin membina sebuah kolej," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Anwar tidak layak menjadi Perdana Menteri Malaysia kerana beliau tidak memahami dan tidak ingin memahami masalah sebenar yang dihadapi oleh masyarakat India.

Tambah beliau, sekiranya Anwar benar-benar berjiwa rakyat beliau sudah tentu menandatangani pelan tindakan Hindraf dan sehingga sekarang tiada seorang pun pemimpin tertinggi pembangkang yang berani mengatakan bahawa pelan itu salah dan tidak praktikal.

“Sebaliknya, mereka menggunakan pemimpin-pemimpin peringkat bawahan untuk mengkritik Hindraf yang telah berjaya menandatangani satu perjanjian persefahaman dengan BN. Ini jelas mereka tidak mahu perubahan untuk masyarakat India," katanya.

Ditanya mengenai pandangan masyakarat India ekoran sokongan penuh Hindraf terhadap BN, beliau berkata, beliau bersyukur apabila masyarakat India bersama-sama Hindraf dalam kempen di Negeri Sembilan, Selangor, Johor, Pulau Pinang, Kedah dan Perak demi memastikan kejayaan BN pada pilihan raya umum ini.

Sementara itu, Waythamoorthy secara tegas menjelaskan bahawa, beliau adalah individu yang bertanggungjawab dan merupakan pengasas Hindraf sejak Disember 2005.

Katanya, dakwaan sesetengah pihak yang mempertikaikan siapa pengasas kumpulan itu adalah helah pembangkang bagi memberi gambaran Hindraf telah berpecah belah. - UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment