Oleh HAMDEN RAMLI
*SEBAHAGIAN sukarelawan BN yang mengendalikan pondok maklumat bergerak BN mengibar bendera parti sempena proses penyerahan dan penerimaan balik kertas undi pos PRU-13 di Pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London, United Kingdom kelmarin semalam. |
Pembukaan pondok maklumat bergerak seakan-akan 'pondok panas' itu sempena proses penyerahan dan penerimaan balik kertas undi pos PRU-13 bagi UK.
Ketua sukarelawan terbabit, Dzuhair Hanafiah berkata, mereka telah mengubah suai tiga buah van untuk dijadikan pondok maklumat bergerak bagi membantu rakyat Malaysia di UK menunaikan tanggungjawab mereka kepada negara.
"Pondok BN ini berfungsi sebagai pusat maklumat setempat. Ada yang bertanya tentang manifesto BN, menyemak nama pengundi dan berbincang tentang isu-isu politik di Malaysia.
"Sukarelawan juga membantu menghantar pengundi ke stesen kereta api bawah tanah dan ke rumah. Pondok BN ini telah dilawati oleh pelbagai lapisan masyarakat. Daripada anak kecil sehinggalah kepada warga emas Malaysia yang telah 50 tahun menetap di UK," katanya dalam emel kepada Utusan Online hari ini.
Beliau yang juga bekas Pengerusi Kelab UMNO London berkata, lebih 100 pelajar pra dan pascasiswazah terbabit menjayakan pondok maklumat bergerak BN itu.
Antara pelajar terbabit datang dari Oxford University, Imperial College, Kings College, London School of Economics (LSE), UCL.
"Terdapat juga pelajar yang menempuh perjalanan sejauh 500 kilometer semata-mata untuk mengundi dan seterusnya menjadi sukarelawan di pondok BN.
"Setiap sukarelawan bertugas selama lima jam dalam tiga syif bermula 7 pagi - 12 tengah hari, 12 tengah hari - 5 petang dan 5 petang - 10 malam," katanya.
Beliau menambah, orang ramai yang hadir amat teruja dengan kehadiran pondok BN kerana ia berjaya mewarnai hari mengundi di London yang merupakan sejarah kerana ia pertama kali diadakan sejak PRU pada 1959.
"Kewujudan pondok BN berjaya menceriakan golongan silent majority yang begitu gembira melihat bendera BN berkibar di kota London. Kebanyakan rakyat Malaysia di UK sudah muak dengan perangai biadap, sombong dan bongkak yang sering ditunjukkan oleh penyokong pembangkang di UK.
"Rata-rata pengundi muda mahukan negara terus aman, makmur dan maju demi masa depan mereka," katanya. - UTUSAN ONLINE
No comments:
Post a Comment