My Add

Wednesday, 1 May 2013

PRU-13: Tolak pembangkang, pertahan nilai-nilai Malaysia

Oleh MOHAMAD FIKRI ROSLY

KLUANG, SELASA, 30 April, 2013: Timbalan Perdana Menteri meminta rakyat mempertahankan nilai-nilai Malaysia iaitu adat resam, budaya dan sikap hormat-menghormati dengan menolak pakatan pembangkang dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pilihan yang salah akan menjejaskan nilai-nilai tersebut dan perpaduan yang telah dibina sejak kemerdekaan dicapai 56 tahun lalu.

"Apatah lagi dengan budaya samseng, tohmah, fitnah dan bidaah pembangkang yang saya rasa berbahaya kepada masyarakat di Malaysia.

"Pembangkang kata saya paling lantang mengkritik, memang betul tetapi bukan kerana pilihan raya, kerana mahu menjelaskan bahaya yang dibawa pembangkang baik dalam ideologi, rancangan dan manifesto mereka.

"Saya minta maaf kerana cakap serius, saya minta rakyat Malaysia tunjukkan, bangkit dan pertahankan nilai-nilai Malaysia ini.

"Kita yakin dan percaya keamanan, kesejahteraan dan pembangunan yang dinikmati bersama ini akan dipertahankan pada 5 Mei nanti.

"Jangan biarkan mereka menghancurkan apa yang kita sudah bina selama ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Himpunan Rakyat 1Malaysia di Dewan Che Luan Khor, di sini hari ini.

Yang turut hadir isteri beliau, Puan Sri Noorainee Abd. Rahman, Timbalan Menteri Belia dan Sukan yang juga Ketua MCA Bahagian Kluang, Gan Ping Sieu dan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi yang juga calon BN bagi Parlimen Kluang, Datuk Dr. Hou Kok Chong.

Hadir sama Pengerusi BN Kluang dan calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, Md. Jais Sarday; calon BN bagi DUN Mengkibol, Chye Kwee Yeow; Ketua Wanita UMNO Johor, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain dan Presiden Persatuan Cina Kluang, Datuk Jimmy Lau. - UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment