My Add

Tuesday, 24 September 2013

11,036 ditahan, jenayah menurun

Khalid Abu Bakar 
KUALA LUMPUR, ISNIN, 23 September, 2013: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 11,036 individu dan berjaya mengurangkan sebanyak 7.34 peratus indeks jenayah selepas 38 hari melancarkan Op Cantas Khas di seluruh negara.

Sepanjang tempoh itu, polis turut merampas 23 laras senjata api, 14 laras senapang angin, sebutir bom tangan, 1,238 butir peluru serta pelbagai jenis senjata tajam seperti parang dan pisau.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, semua kes jenayah indeks mencatatkan penurunan kecuali kes rogol, peras ugut dan ugutan jenayah.

"Berdasarkan analisis, kita dapati peningkatan kes peras ugut dan ugutan jenayah ini disebabkan pertambahan laporan polis daripada orang ramai yang mula yakin dengan kesungguhan polis menghapuskan jenayah.

"Namun alhamdulillah kita berjaya mengekang dan mengawal jenayah daripada terus meningkat di seluruh negara walaupun anggota kita terpaksa menghadapi pelbagai risiko bahaya," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur hari ini.

Menurut Khalid, dalam operasi tersebut, sebanyak 304 ahli kongsi gelap telah ditahan dan 236 kertas siasatan dibuka.

"Mereka yang ditahan ialah 60 individu dari Geng 04, 110 (Geng 08), 12 (Geng 18), 60 (Geng 36) dan beberapa lagi geng-geng kecil.

"Mereka dituduh mengikut Akta Pertubuhan 1966 kerana menjadi ahli kepada pertubuhan yang tidak berdaftar. Selain itu, kita juga telah menahan 47 individu mengikut Akta Pencegahan Jenayah 1959," ujarnya.

Dalam pada itu kata Khalid, Op Cantas Khas juga akan menyasarkan pesalah trafik yang mempunyai saman tertunggak dan waran tangkap.

"Buat masa ini fokus kita kepada pemandu kenderaan komersial seperti lori dan bas sebelum kepada pemandu kenderaan biasa.

"Jadi, nasihat saya kepada pengusaha lori dan bas periksa pemandu kenderaan mereka sebelum polis mengambil tindakan," ujarnya.

Berhubung kejadian seorang anggota polis yang maut akibat dihentak batu oleh penjenayah semasa operasi di Melaka, Khalid menjelaskan, keadaan sedemikian adalah antara risiko-risiko yang perlu dilalui oleh setiap anggota polis khususnya ketika berdepan dengan ahli kongsi gelap.

"Ada yang menyoal polis kenapa berpakaian sedemikian (berpakaian taktikal dan bersenjata). Ini semua adalah peralatan perlindungan kita.

"Penjenayah akan lakukan apa saja untuk melepaskan diri jadi kita perlu bersedia dengan peralatan melindungi diri," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment