![]() |
*RAUS Yatim memalu gong sebagai simbolik perasmian Seminar Kebangsaan Ke-12 Majlis Dekan Pendidikan IPTA 2013 di Gombak, semalam. |
Penasihat Kerajaan Dalam Hal Ehwal Sosial dan Kebudayaan, Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, selepas pelbagai kekejaman dan pembunuhan yang dilakukan serta penentangan yang telah dibuat, Chin Peng bukan lagi dianggap sebagai seorang warganegara.
"Penentangan Chin Peng itu berterusan sehinggalah dia lanjut usia namun dalam keadaan itu, dia tetap merupakan musuh negara," katanya selepas menyempurnakan Seminar Kebangsaan Ke-12, Majlis Dekan Pendidikan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) 2013 di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini hari ini.
Yang hadir sama, Rektor UIAM, Prof. Datuk Seri Dr. Zaleha Kamaruddin dan Pengerusi Majlis Dekan Pendidikan IPTA, Prof. Datuk Dr. Abdul Rashid Mohamed.
Rais yang juga merupakan Presiden UIAM berkata demikian ketika mengulas usaha pihak tertentu yang ingin membawa pulang abu mayat Chin Peng ke kampung halamannya di Sitiawan, Perak.
Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua yang tinggal di Thailand mati di sebuah hospital di Bangkok pada awal pagi 16 September lalu.
Tambah Rais, isu berkaitan Chin Peng sudah selesai dan tidak perlu ditimbulkan polemik politik berkaitan dengannya.
"Saya fikir sukar untuk mengawal penyeludupan abu mayat itu namun seharusnya soal Chin Peng patut sudah selesai dan tidak perlu lagi ditimbulkan polemik politik yang tidak ketentuan," katanya.
Sementara itu, Rais berharap, Majlis Dekan Pendidikan IPTA dapat mengambil peranan memperjelaskan kepada pihak Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) berhubung Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.
"Dong Zong dan lain-lain tidak berpuas hati dalam perspektif mereka, jadi perlu untuk kita berdepan dan memperjelaskan kepada mereka soal intisari pendidikan negara.
"Ini termasuklah memperjelaskan dan memperincikan mengenai Laporan Razak, Laporan Rahman Talib serta yang terbaharu Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025," katanya. - UTUSAN

No comments:
Post a Comment