My Add

Monday, 23 September 2013

3 penjual DVD ditahan bersama pistol tiruan

Oleh AZIAN AZIZ

SHAH ALAM, ISNIN, 23 SeptEMBER, 2013: Polis menahan tiga penjual cakera padat digital (DVD) cetak rompak termasuk seorang lelaki warga Myanmar dan merampas sepucuk pistol mainan dalam serbuan berasingan di sekitar Petaling Jaya pada Jumaat lalu.

Serbuan pertama dibuat pada pukul 11.30 pagi di sebuah kondominium mewah di Tropicana City di mana ketiga-tiga suspek ditahan dan sebanyak 8,179 keping DVD cetak rompak bernilai RM60,000 telah dirampas.

Turut dirampas adalah sepasang gari, dua kotak pistol kosong, lampu suluh, sarung pistol, lesen memandu salah seorang suspek, peluru plastik, peluru bebola besi dan pisau Luminox.

Satu lagi serbuan yang dilakukan pada pukul 1.55 petang di sebuah kedai menjual DVD cetak rompak di Amcorp Mall pula menemukan sepucuk pistol tiruan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, ini merupakan tangkapan pertama melibatkan penjual DVD cetak rompak yang memiliki pistol.

Sehubungan itu kata beliau, pihaknya sedang menyiasat kemungkinan suspek mempunyai kaitan dengan kegiatan kongsi gelap.

"Setakat ini kita percaya suspek yang terdiri daripada lelaki Myanmar dan dua warga tempatan termasuk seorang wanita telah melakukan kegiatan menjual dan membungkus DVD cetak rompak sejak tahun lalu.

"Siasatan awal kita juga percaya suspek menjadikan kondominium mewah sebagai tempat menyimpan DVD sejak tahun lalu kerana menyangka tempat sebegitu akan selamat daripada serbuan," kata beliau kepada pemberita di Pusat Media Polis Kontinjen Selangor hari ini. - UTUSAN ONLINE 

No comments:

Post a Comment