My Add

Monday, 23 September 2013

Keluarga cari Nurul Nadia tak pulang 2 minggu

Oleh OTHMAN YAHAYA
 *NURUL NADIA SONY... Remaja perempuan berusia 16 tahun dari Penanti, Bukit Mertajam ini dicari keluarganya selepas tidak pulang ke rumah sejak 11 September lalu. - UTUSAN
BUKIT MERTAJAM, ISNIN, 23 September, 2013: Sepasang suami isteri tidak dapat tidur lena sejak dua minggu lalu selepas anak gadis mereka, Nurul Nadia Sony, 16, yang keluar dari rumah di Kampung Mukim 20, Penanti di sini tidak pulang sehingga sekarang.

Bapanya, Sony Musa, 45, berkata, Nurul Nadia yang masih belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Penanti dikhuatiri hilang selepas gagal ditemui walaupun usaha mencari telah dilakukan sebaik tidak pulang ke rumah.

Menurutnya, pada hari kejadian iaitu pada 11 September lalu, anak kedua daripada lima beradik itu keluar ke pekan selepas memaklumkan keinginannya kepada ibunya, Rozita Ismail, 43, pada pukul 4.30 petang dengan menaiki motosikal Yamaha Ego berwarna hitam miliknya.

"Nurul Nadia memaklumkan dia ingin ke pekan Bukit Mertajam yang terletak lebih kurang 10 kilometer dari rumah untuk bertemu dengan rakannya dan berjanji akan pulang semula menjelang malam.

"Namun sehingga pukul 9 malam hari sama dia tidak pulang membuatkan kami sekeluarga risau dan mencarinya di beberapa lokasi yang sebelum ini pernah dikunjunginya tetapi gagal menemuinya," katanya yang bekerja di sebuah kilang di sini.

Sony berkata, dia mengesyaki anaknya diculik oleh individu yang tidak dikenali kerana Nurul Nadia menghilangkan diri secara tiba-tiba dan sehelai sepinggang termasuk gagal dikesan sehingga sekarang.

Selama ini, menurutnya, dia dan isteri tidak pernah berselisih faham dengan Nurul Nadia tetapi dia tidak menolak kemungkinan anaknya menghilangkan diri selepas bergaduh dengan teman lelakinya.

"Kami tidak pasti kebenarannya tapi itulah yang disampaikan oleh rakannya yang ditemui sebaik dia keluar dari rumah.

"Kami bimbang keselamatannya dan berharap agar orang ramai dapat membantu mencari Nurul Nadia," ujarnya.

Menurutnya, dia sudah membuat laporan di Balai Polis Kubang Semang pada 16 September lalu, iaitu hampir seminggu selepas anaknya tidak pulang ke rumah selepas berusaha mencarinya di merata tempat.

Orang ramai mempunyai maklumat mengenai Nurul Nadia diminta menghubungi Sony di talian 017-4587356 atau mana-mana balai polis berhampiran. - UTUSAN ONLINE 

No comments:

Post a Comment