My Add

Monday, 23 September 2013

Op Cantas: 304 anggota kongsi gelap ditahan - KPN

KUALA LUMPU, ISNIN, 23 September, 2013: Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberkas 304 anggota kongsi gelap menerusi Op Cantas Khas yang dilaksana sejak 17 Ogos lepas, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Beliau berkata, polis juga membuka 236 kertas siasatan mengenai pertubuhan kongsi gelap terbabit.

"Antara anggota kumpulan kongsi gelap yang ditahan ialah Geng 04 sebanyak 60 orang, Geng 08 (110 orang), Geng 18 (12 orang) dan Geng 36 (60 orang)," katanya dalam sidang media, di sini hari ini.

Menurutnya, setakat hari ini, polis menahan 11,036 individu di bawah operasi itu selain merampas 23 laras senjata api, 14 pucuk senapang angin buatan sendiri, satu bom tangan, 1,238 butir peluru dan pelbagai senjata lain.

Katanya, daripada jumlah yang ditahan itu, 47 disiasat mengikut Akta Pencegahan Jenayah 1959 (PCA), manakala baki di bawah kesalahan-kesalahan lain.

"Walaupun kita dah tahan ramai tetapi kita tidak dapat meneruskan tindakan di bawah PCA kerana tidak diluluskan pihak pendakwa raya tapi mereka dituduh di bawah kesalahan lain di mahkamah," katanya.

Op Cantas Khas dilaksana oleh PDRM bagi membanteras kongsi gelap dan individu terbabit jenayah berat di seluruh negara setelah jenayah keganasan melibatkan pembunuhan, rompakan, rogol dan pergaduhan dilaporkan meningkat termasuk pembunuhan dan cubaan bunuh golongan berprofil tinggi.

Mengulas lanjut, Khalid berkata, polis kini giat memburu pesalah trafik terutama pemandu kenderaan komersial seperti lori dan bas yang tidak membayar saman tertunggak.

"Jadi mulai sekarang saya nasihatkan buat semakan dan mana ada saman tertunggak sila jelaskan segera, tak lama lagi bila kita akan ambil alih Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) nanti, lagi mudah kita mencari mereka ini," katanya. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment