Najib rasmi pejabat Khazanah Nasional
Oleh Zulkefli Hamzah
SAN FRANCISCO, ISNIN, 23 September, 2013: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini merasmikan pejabat Khazanah Nasional Berhad di sini bagi menggalakkan lagi kerjasama pelaburan dan perdagangan antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) dalam bidang berasaskan pengetahuan, teknologi dan inovasi.
Ini adalah pejabat ketiga Khazanah di luar negara selepas Beijing dan Mumbai. San Francisco dipilih kerana ia adalah bandar paling dinamik di dunia yang menempatkan Lembah Silikon iaitu hab kepada institusi dan perniagaan berasaskan inovasi.
Dalam majlis itu, Perdana Menteri turut menyaksikan penyampaian Anugerah Global untuk Kepimpinan Berwawasan Inovasi daripada firma perunding perniagaan antarabangsa, Frost & Sullivan kepada Khazanah yang diwakili oleh Pengarah Urusannya, Tan Sri Azman Mokhtar.
Anugerah tersebut yang pertama kali diberikan oleh Frost & Sullivan kepada mana-mana entiti adalah hasil kajian menyeluruh firma itu di seluruh dunia yang menurut Pengerusinya, David Fringstad, pendekatan Malaysia perlu dijadikan model kepada dunia moden hari ini.
Yang turut hadir dalam majlis itu ialah isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Ewon Ebin, Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh dan Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Najib yang juga Pengerusi Khazanah dalam ucapannya berharap pembukaan pejabat itu dapat membantu menggerakkan lagi usaha Malaysia untuk mencapai negara maju menjelang 2020.
Pembukaan pejabat di Tingkat 45, 101 California Street itu kata beliau, menunjukkan kesungguhan Malaysia selain menyokong penuh dan serius untuk mewujudkan persekitaran kompetitif, berkekalan dan mesra inovasi serta menggalakkan swasta dan kerajaan melabur dalam sektor-sektor utama di luar negara.
Katanya, Malaysia berminat untuk melabur dalam bidang-bidang berimpak tinggi seperti sains hayat dan teknologi hijau yang boleh membantu melonjakkan usaha Malaysia untuk menjadi negara berpendapatan tinggi. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment