My Add

Tuesday, 24 September 2013

Kedah paling tinggi terima sumbangan rumah TNB tahun ini

PADANG TERAP, ISNIN, 23 September, 2013: Kedah menerima bantuan membaiki dan membina rumah paling banyak sepanjang tahun ini di bawah program Baiti Jannati (Rumahku, Syurgaku) anjuran Tenaga Nasional Bhd. (TNB) dengan jumlah enam buah di seluruh negeri.

Pengurus Besar Kanan (Hal Ehwal Korporat dan Komunikasi) TNB, Datuk Ir. Mohd. Aminuddin Mohd. Amin berkata, TNB membelanjakan kira-kira RM895,000 sepanjang 2013 untuk membina 30 buah rumah di bawah program tersebut di seluruh Semenanjung.

"Sepanjang 2013 ini sebanyak enam buah rumah dibina di Kedah yang merupakan bilangan tertinggi di seluruh negara kerana sumbangan zakat TNB di negeri ini juga tinggi.

"Bermula tahun ini TNB menggunakan duit zakat badan korporat itu untuk disalurkan kepada program Baiti Jannati," katanya kepada pemberita selepas majlis Kesyukuran Projek Baiti Jannati TNB sebuah rumah warga emas, Saadiah Ismail, 96, di Kampung Kubang Palas di sini semalam.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang juga Ahli Parlimen Padang Terap.

Katanya, sejak diperkenalkan pada 2007, sebanyak 137 buah rumah telah dibina dengan peruntukan RM2.6 juta di Semenanjung Malaysia.

Dalam pada itu bagi Saadiah yang tinggal sendirian di rumah usang dan uzur sejak 15 tahun lalu, sumbangan TNB tersebut sedikit sebanyak membawa sinar baharu terutama menjelang Hari Raya Aidiladha bulan depan.

Menurut anak Saadiah, Siti Zainab, 56, pihaknya amat berterima kasih kepada TNB yang prihatin dengan kesusahan keluarga tersebut.

"Kami gembira dengan bantuan ini kerana keluarga tidak mampu membaiki rumahnya kerana mempunyai pendapatan yang tidak menentu. Rumah lama ibu saya ini memang uzur namun kini dia boleh tinggal dengan selesa," katanya.

Katanya, walaupun mempunyai lima orang anak, Saadiah enggan tinggal bersama mereka sejak berpisah dengan arwah suaminya kira-kira 15 tahun lalu.

"Namun kesihatannya tidak baik sejak kebelakangan ini dan rumah lama juga hampir terbakar tahun lepas jadi sumbangan ini sangat bermakna kepadanya," katanya.

Baiti Jannati merupakan program tanggungjawab sosial TNB yang menjurus kepada kerja-kerja membaiki dan membina kediaman golongan sasaran antaranya orang kurang upaya, ibu tunggal, warga emas dan penduduk miskin di luar bandar. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment