My Add

Tuesday, 24 September 2013

Waris, pencarum boleh tuntut faedah Perkeso

SUNGAI PETANI, ISNIN, 23 September, 20113: Tahap kesedaran dalam kalangan pekerja dan waris berkaitan kelayakan menikmati faedah caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) masih rendah.

Pengarah Perkeso Kedah, Othman Nordin berkata, keadaan tersebut menyebabkan ramai di antara pekerja mahupun waris tidak membuat tuntutan selepas berlakunya insiden ataupun kematian.

"Golongan pekerja ataupun waris termasuk ibu bapa yang anaknya belum berkahwin boleh membuat tuntutan faedah caruman Perkeso sekiranya ditimpa kemalangan ataupun kematian.

"Kita mempunyai pelbagai faedah kepada pencarum seperti faedah pengurusan mayat, pencen penakat, pencen ilat dan faedah pinjaman pendidikan kepada anak penerima manfaat," katanya kepada pemberita selepas menyertai Ops Kesan di sini baru-baru ini.

Othman berkata, sebagai contoh, dalam kes kematian pencarum, waris mempunyai hak untuk mendapatkan faedah di bawah pencen penakat.

Katanya, nilai minimum pencen penakat adalah sebanyak RM475 dan maksimum RM1,917.50 bergantung kepada pendapatan pencarum semasa hayatnya.

"Di samping itu, Perkeso turut menyediakan elaun layanan sentiasa kepada waris atau penjaga kepada pencarum yang jatuh sakit dan memerlukan penjagaan rapi," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu, Ops Kesan yang dijalankan tersebut bertujuan mengesan para majikan yang tidak mencarum pekerja mereka ke dalam skim Perkeso.

Katanya, sehingga 1 hingga 18 September lalu, sebanyak 44 kompaun dikeluarkan kepada majikan di sekitar kawasan Sungai Petani melibatkan nilai RM36,000. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment