Peluang pilih bakal pemimpin masa depan
KUALA LUMPUR, ISNIN, 23 September, 2013: Pemilihan pucuk pimpinan UMNO Oktober ini bukan sekadar bagi memilih pemimpin untuk tempoh sepenggal tetapi yang lebih penting ialah mencari bakal pemimpin masa hadapan.
Penganalisis politik, Prof. Dr. Ahmad Atory Hussain menjelaskan, selain meremajakan UMNO, impak pada pemilihan parti kali ini ialah mengenal pasti pemimpin muda yang berpotensi bagi memimpin dan memastikan UMNO terus relevan untuk jangka masa yang panjang.
"Berdasarkan ramai calon yang datang menawarkan diri untuk bertanding sama ada dalam Majlis Tertinggi, Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO, sudah tentu pemilihan kali ini adalah peluang terbaik bagi melihat calon kepemimpinan masa depan UMNO," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Dalam pada itu tambah Ahmad Atory, pemilihan UMNO kali ini sudah tentu menampilkan saingan yang menarik kerana buat pertama kali pertandingan diadakan selepas Perlembagaan UMNO dipinda pada 2009.
"Proses pemilihan UMNO tahun ini adalah kali pertama dipraktikkan, sehubungan itu sebarang keputusannya bakal memperlihatkan keberkesanan pindaan perlembagaan parti itu nanti," katanya.
Pensyarah Sains Politik, Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Datuk Dr. Samsul Adabi Mamat pula berkata, UMNO kini dalam landasan tepat bagi proses meremajakan parti.
"Selesai proses penyerahan borang pencalonan Sabtu lalu, didapati ramai calon muda telah menawarkan diri untuk merebut tempat di dalam parti.
"Saingan sengit yang berlakunya terutamanya dalam Pemuda dan Puteri UMNO jelas memperlihatkan UMNO tidak ketandusan pemimpin muda dalam proses meremajakan parti itu," katanya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment