My Add

Tuesday, 24 September 2013

UMNO belajar dari sejarah untuk melangkah lebih jauh

Oleh ZULKIFLI JALIL

PERKARA paling menarik diperhatikan Sabtu lalu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) ialah apabila Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri menjadi pencadang kepada Datuk Seri Najib Tun Razak untuk pencalonan jawatan Presiden.

Jelaslah - kesetiaan parti mengatasi segala-galanya. Seorang pemimpin dalam UMNO jarang sekali mengorak langkah sendiri dalam persoalan mengekalkan kepentingan Presiden.

Suara-suara tidak membenarkan kedudukan Presiden dan timbalannya dipertandingkan telah menjadi tradisi berdekad-dekad lamanya sejak 1990. Ini apabila kuota dikenakan untuk melepasi kelayakan dua jawatan tertinggi itu. Ia susulan pertempuran raksasa akibat cabaran Tengku Razaleigh Hamzah terhadap Dr. Mahathir Mohamad pada 1987 sehingga mengakibatkan UMNO diharamkan 1988.

Dan meskipun pindaan Perlembagaan UMNO pada Mac 2009 menyebabkan sistem kuota dihapuskan, UMNO masih tetap cekal menelaah sejarahnya.

Kesetiaan parti, bukannya peribadi atau individu juga segalanya buat UMNO apabila Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (kini Tun) pada Mac 2009 bersetuju untuk melaksanakan peralihan kepemimpinan kepada Najib. Sebagai pemimpin yang mengambil penilaian akar umbi demi kebaikan, beliau melepaskan pemerintahan kepada Najib dalam keadaan ceria.

Suatu ketika, siapa sangka selepas menewaskan Ghafar Baba yang sudah berumur sebagai Timbalan Presiden UMNO pada 1993, nasib malang menimpa Anwar Ibrahim pada kemuncak kerjayanya.

Selepas satu tempoh pengukuhan dalam politik parti, dia sebenarnya telah meletakkan pemimpin-pemimpin UMNO dalam telapak tangannya. Dan memutuskan sudah tiba masanya untuk Dr. Mahathir berundur. Perbuatan ini menyerupai gayanya mengetepikan Ghafar - sambil tersenyum menafikan sebarang hasrat untuk menggantikan tuan yang telah membentuknya.

Kemudian malapetaka turun pada waktu tidak disangka. Kuasa yang memerintah telah mendapati 'sesuatu' untuk menggerakkan Seksyen 377A Kanun Keseksaan.

Apatah lagi pada suatu masa apabila Asia menghadapi krisis kewangan pada 1997, gaya Anwar mentadbir kewangan negara tidak bertepatan dengan dasar yang ditetapkan oleh pegawai atasannya. Dia menyokong pembiayaan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) manakala Dr. Mahathir menentangnya. Malah, Dr. Mahathir telah memutuskan untuk menghalang aliran keluar modal dan menjadikan Ringgit Malaysia tidak sah di luar negara, terbiar di dalam bilik kebal asing.

Tidak lama kemudian, berbilion-bilion ringgit mengalir balik kepada Bank Negara dan bank-bank tempatan, sekali gus menjamin kestabilan dalam negara - walaupun ini dicemuh pelbagai pihak termasuk George Soros, pemain utama dana lindung nilai (hedge fund).

Sabtu lalu di PWTC, UMNO masih belajar dari sejarah lampau dan terbaharu, Pilihan Raya Umum Ke-13, Mei lalu.

Transformasi pembangunan negara dan politik yang sedang memasuki peringkat pertengahan selain kejutan sokongan rakyat, memerlukan UMNO untuk terus stabil, sebelum membawa Barisan Nasional melangkah lebih jauh, lebih laju.

Presiden dan Timbalan Presidennya perlu sepakat. Kekal tanpa dipertanding. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment