My Add

Tuesday, 24 September 2013

Shahrizat alu-alukan dua lagi pencabar

KUALA LUMPUR, ISNIN, 23 September, 2013: Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, beliau mengalu-alukan penyertaan sesiapa juga yang mahu bertanding merebut jawatan Ketua Wanita UMNO pada pemilihan parti kali ini.

Katanya, sebagai orang politik, kalah menang adalah di dalam gelanggang pertandingan dan itu tidak menjadi masalah kepada beliau sendiri.

"Kita orang politik, menang kalah dalam gelanggang. Bertanding dalam gelanggang. Tak jadi masalah. Kalau 10 orang nak bertanding pun tak ada masalah," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Sekretariat Jaringan Untuk Ibu Tunggal (Juwita) di sini hari ini.

Shahrizat yang memegang jawatan Ketua Wanita UMNO sejak 2008 kali ini dicabar dua lagi calon, Exco Wanita UMNO, Datuk Maznah Mazlan dan ahli UMNO seumur hidup, Raihan Suleiman yang menyerahkan borang pencalonan bagi pemilihan parti yang diadakan pada Sabtu lalu.

Katanya, beliau tidak terkejut langsung dengan kemunculan dua lagi calon itu kerana sudah menjangka cabaran itu pasti akan berlaku.

"Kita sudah tahu kenapa mereka masuk sebagai calon. Wanita UMNO sudah jadi satu pergerakan yang menarik sebab itu ramai nak masuk," katanya.

Shahrizat berkata, beliau mengambil alih Wanita UMNO ketika pergerakan itu dan parti dilanda tsunami politik pada 2008 dan telah melalui pelbagai cabaran getir sehingga mampu berada di tahap selesa seperti sekarang.

"Kami diuji. Masa itu prestasi UMNO benar-benar dicabar tetapi Alhamdulillah kami mampu bersatu padu sehingga berada di tahap yang boleh dibanggakan.

"Saya bukan orang baharu di dalam parti. Saya tahu hati budi, naluri, keperluan, impian dan apa isu Wanita selama di dalam politik. Saya tahu kalau diberi kepercayaan, saya nak bawa Wanita UMNO ke satu lagi tahap yang baik," katanya.

Katanya, dakwaan sesetengah pihak bahawa Wanita UMNO mudah diperlekehkan sama sekali tidak benar kerana telah terbukti pemimpin Wanita UMNO mendapat tempat di dalam parti dan juga di dalam kerajaan.

"Wanita UMNO hari ini berada di tahap berjaya, kita menjadi tulang belakang parti dan oleh kerana itu, kita berjaya mencapai kemenangan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 lalu," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment