My Add

Saturday, 5 October 2013

Ikrar terus tingkat kerjasama

Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED, ROSALINDA MD. SAID,
ADLINAHANI KHALIL dan MOHD. HASRIQ AMIRUDDIN

 *NAJIB Tun Razak dan Xi Jinping menyaksikan majlis pertukaran dokumen perjanjian kerjasama antara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang diwakili oleh Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd. Hazem Abd. Rahman (kanan) dengan China EXIM Bank yang diwakili oleh Pengerusi dan Presidennya, Li Ruogu selepas mengadakan pertemuan dua hala Malaysia-China di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, semalam. - BERNAMA
KUALA LUMPUR, JUMAAT, 04 Oktober, 2013: Malaysia dan China berikrar untuk terus meningkatkan kerjasama dalam pelbagai bidang memandangkan kedua-dua negara memiliki 'resipi' sama yang menyuburkan hubungan diplomatik selama 39 tahun.

Perkara tersebut ditegaskan pucuk pimpinan kedua-dua negara itu pada Sidang Kemuncak Ekonomi Malaysia-China yang diadakan di ibu negara, petang ini.

Malah, menerusi Program Lima Tahun Kerjasama Perdagangan dan Ekonomi yang dimeterai hari ini, kedua-dua negara dilihat akan lebih kuat dalam membina ekonomi global.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ketika Asia dianggap memainkan peranan penting dalam hal ehwal dunia, keputusan dibuat oleh Malaysia dan China di peringkat kebangsaan, bilateral dan serantau akan memberi kesan mendalam terhadap ekonomi global.

"Kita boleh menunjukkannya melalui tindakan bersama bahawa pengaruh Asia akan menghasilkan keamanan dan kemakmuran dalam negara, wilayah serta dunia kita.

"Dan saya percaya dengan meneruskan tradisi kerjasama dalam mengejar cita-cita bersama, China dan Malaysia mampu menjadi penyumbang besar kepada agenda berkenaan.

"Sama ada secara hubungan perdagangan dua hala atau usaha di peringkat antarabangsa untuk membina ekonomi dunia yang mapan, kita akan bertambah kuat jika saling bekerjasama,'' katanya ketika berucap sempena sidang kemuncak itu.

Sidang Kemuncak Ekonomi Malaysia-China diadakan sempena lawatan pertama kali Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia yang bermatlamat meningkatkan hubungan kerjasama antara kedua-dua negara.

Najib berkata, Program Lima Tahun Kerjasama Perdagangan dan Ekonomi adalah sebagai penanda langkah seterusnya dalam mengukuhkan hubungan pada masa depan.

"Dengan melanjutkan kerjasama ini, kita boleh memacu pembangunan, bukan sekadar dalam negara masing-masing tetapi di peringkat serantau dan dunia,'' ujarnya.

Sementara itu, Jinping berkata, hubungan akrab antara China dan Malaysia diibaratkan seperti 'air dicincang tidak akan putus', berteraskan kepada beberapa faktor termasuk kepercayaan dasar politik yang kukuh.

Dalam hal itu, beliau memberi contoh, pentadbiran Najib memilih China sebagai destinasi kunjungan pertama sekali gus menyaksikan pelan tindakan bersama berhubung kerjasama strategik antara kedua- dua negara dimeterai di Beijing.

Selain itu, katanya, pembukaan Taman Perindustrian China-Malaysia di Qinzhou dan di Kuantan, Pahang turut memainkan peranan dalam mengukuhkan lagi hubungan dua hala itu.

"Sokongan yang kuat daripada rakyat turut membantu mengekalkan hubungan dua hala China-Malaysia, selain mewujudkan pelbagai peluang pelaburan dan pekerjaan kedua-dua pihak.

"Saya berharap kerjasama dan hubungan China-Malaysia boleh menjadi contoh kepada negara ASEAN lain bagi mengekalkan kestabilan dan kemakmuran serantau,'' katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment