My Add

Sunday, 6 October 2013

Malaysia iktiraf sumbangan pekerja asing bangunkan negara

KUALA LUMPUR, SABTU, 05 Oktober, 2013: Malaysia menyedari peranan yang boleh dimainkan migrasi dalam proses pembangunan di samping kesukaran yang ditimbulkannya.

Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, Datuk Hussein Haniff berkata, cabaran utama kepada negara ialah untuk mengimbangi keperluan untuk memaksimum faedah ekonomi hasil migrasi dan keinginan untuk melindungi kepentingan semua pihak.

"Kami percaya bahawa kunci untuk mencapai ini ialah dengan memastikan pengurusan aliran migran yang tersusun.

"Dalam hubungan ini, polisi pekerja asing Malaysia adalah berdasarkan keperluan mengurus migrasi dengan kerjasama negara sumber dengan tujuan untuk membawa faedah bersama kepada semua pihak," katanya semasa Dialog Peringkat Tinggi mengenai Migrasi dan Pembangunan Antarabangsa di New York pada Khamis.

Teks ucapan beliau dihantar ke Bernama di sini hari ini.

Hussein berkata, polisi pekerja asing Malaysia ditentukan dengan keperluan untuk memastikan ia membawa faedah bersama kepada semua pihak terbabit terutama negara sumber dan negara penerima, majikan, pekerja migran yang sah dan masyarakat madani.

Beliau berkata, Malaysia mengiktiraf sumbangan tenaga kerja migran berdasarkan produktiviti fizikal dan pembangunan ekonomi kepada negara.

"Malaysia percaya faedah proses globalisasi boleh dikongsi bersama antara negara penghantar dan penerima migran," tambahnya.

Beliau berkata, isu penghantaran wang adalah penting kepada migran dan berhubung kait dengan pembangunan global dan oleh itu Malaysia tidak mengenakan sekatan terhadap penghantaran pulang wang ke negara asal migran.

Mengenai statistik yang dikeluarkan Bank Dunia 2011, Malaysia berada dalam kedudukan 20 negara imigran teratas dengan jumlah 2.4 juta migran yang menghantar pulang kira-kira US$6.8 bilion pada 2009 yang secara tidak langsung menyumbang kepada negara membangun yang lain, kata Hussein.

Beliau mengakhiri ucapan dengan berkata, "pekerja asing di Malaysia menikmati perlindungan penuh hak asasi mereka selaras dengan undang-undang Malaysia". - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment