My Add

Wednesday 30 October 2013

Program belia tidak tepati sasaran

Oleh BADRUL HAFIZAN MAT ISA

KUALA LUMPUR, SELASA, 29 Oktober, 2013: Banyak program yang dilaksanakan untuk pembangunan belia di seluruh dunia termasuk di negara ini tidak menepati kehendak dan cita rasa golongan itu.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Mohamad Shatar Sabran berkata, difahamkan ada program untuk belia yang dianjurkan sebelum ini tidak menepati fakta dan keinginan seperti yang diharapkan oleh golongan itu sendiri.

"Kita mesti mengetahui apa sebenarnya yang golongan belia dan remaja itu mahukan dan penting untuk setiap pembangunan dan program itu turut dapat melibatkan pandangan mereka.

"Saya berharap semua usaha dan peruntukan untuk belia yang akan dibelanjakan selepas ini berbaloi, bersesuaian dan memberi impak seperti apa yang dikehendaki oleh kerajaan dalam melahirkan belia positif di negara ini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis perasmian Persidangan Antarabangsa Mengenai Belia 2013 (ICYouth 2013) anjuran Institut Sains Sosial (Ipsas) UPM di Seri Kembangan, dekat sini hari ini.

Majlis tersebut disempurnakan Ketua Setiausaha, Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Jamil Salleh yang mewakili Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Persidangan selama dua hari yang bermula hari ini itu mengumpulkan para penyelidik, pelajar dan pegawai agensi dari hampir 10 negara dalam perkongsian dan pendedahan kepada aspek belia, pembangunan komuniti, siber dan organisasi.

Terdahulu, turut diadakan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Kementerian Belia dan Sukan dengan UPM serta pertukaran perjanjian penyelidikan antara Ipsas dengan Yayasan Basmi Kemiskinan yang bertujuan memperkasa penyelidikan dan inovasi dalam bidang berkaitan pembangunan belia.

Menurut Jamil, semua program yang dianjurkan akan dilihat semula dan sekiranya didapati tidak memberi impak seperti yang diinginkan, penambahbaikan yang berterusan akan dilakukan.

"Jadi, selepas ini juga pihak kementerian akan memastikan setiap program belia menepati kehendak semasa golongan tersebut yang kini dilihat semakin idealistik,'' ujarnya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment