Mohammad Qaiyum, Azman Ampong |
IPOH, JUMAAT, 29 Mac, 2013: Jika melihat penampilan mereka semasa hadir dalam Majlis Meraikan Wira Ops Daulat di sini semalam, pasti ramai menyangka anggota Komando VAT 69 yang cedera parah ditembak pengganas Kiram di Lahad Datu 1 Mac lalu, sudah semakin pulih.
Namun, di sebalik wajah ceria dan gelak tawa mereka, tidak ramai yang tahu peluru masih tertanam di tubuh anggota terlibat walaupun insiden pertempuran tersebut sudah hampir sebulan berlalu.
Peluru pada bahu Konstabel Mohammad Qaiyum Aiqal Zulkifli, 22, dan belakang badan Koperal Azman Ampong, 39, belum dikeluarkan memandangkan tahap kesihatan mereka perlu dipastikan benar-benar stabil terlebih dahulu.
Perkara itu diceritakan sendiri oleh dua anggota berkenaan ketika berbual dengan Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir pada Majlis Meraikan Wira Ops Daulat di kediamannya semalam.
Mereka beritahu bahawa peluru itu masih ada dan belum dikeluarkan. Ada masanya mereka masih menanggung kesakitan jika bergerak atau duduk terlalu lama," kata Zambry ketika ditemui semasa bersarapan bersama ketua-ketua biro media di sini hari ini.
Azman dan Mohammad Qaiyum Aiqal bersama seorang lagi Komando VAT 69, Mohd. Tarmizi Hashim adalah antara 174 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang diraikan pada Majlis Menyambut Kepulangan Wira Ops Daulat semalam.
Menurut Zambry, beliau kagum dengan semangat yang ditunjukkan anggota komando terbabit kerana tetap mempamerkan semangat yang berkobar-kobar walaupun keadaan kesihatan mereka belum pulih.
Semangat serta keberanian mereka cukup mengagumkan dan wajar dicontohi seluruh rakyat Malaysia. Sebab itu, tidak wajar perjuangan mereka dipolitikkan," ujar beliau.
Azman, Mohammad Qaiyum Aiqal dan Mohd. Tarmizi cedera parah selepas bertempur dengan segerombolan tentera pengganas Kiram yang menyerang hendap anggota keselamatan di sebuah kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Tanduo, Lahad Datu pada 1 Mac lalu.
Dalam kejadian itu, mereka diserang pada jarak dekat dengan dihujani peluru musuh sehingga menyebabkan Azman cedera di kaki dan belakang badan, manakala peluru menembusi tulang selangka Mohammad Qaiyum Aiqal sehingga patah dan paru-parunya turut terluka.
Insiden berdarah itu mengorbankan dua anggota VAT 69, Inspektor Zulkifli Mamat dan Koperal Sabarudin Daud. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment