My Add

Saturday 30 March 2013

Lantikan pengarah ESSCOM lengkap usaha mantap keselamatan di Sabah

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 29 Mac, 2013: Pelantikan Datuk Mohammad Mentek sebagai Pengarah Kawasan Keselamatan Khas Sabah (ESSCOM mulai Isnin ini melengkapkan usaha kerajaan memantapkan kawalan keselamatan di sepanjang 1,400 kilometer pantai timur Sabah.

Pelantikan Pengarah Imigresen Sabah berusia 48 tahun itu diumumkan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN), Datuk Seri Dr Ali Hamsa hari ini.

"Saya percaya kelayakan, pengalaman, pengetahuan serta kredibiliti yang dimiliki Mohammad akan membolehkan beliau menerajui ESSCOM dalam memastikan keselamatan negara dan ketenteraman awam khususnya di zon keselamatan khas ini sentiasa terjamin," kata Ali.

Penubuhan ESSCOM yang diumum Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak 7 Mac lalu, bertujuan menguatkan kawalan keselamatan maritim di bahagian timur Sabah susulan krisis pencerobohan kumpulan militan dari selatan Filipina.

Kawasan merangkumi daerah Kudat, Tawau, Kunak, Sandakan dan Lahad Datu yang dijadikan pusat pemerintah itu juga bagi menghalang sebarang kegiatan pengganas dan penyeludupan di perairan Sabah.

Buat masa ini, ESSCOM akan beroperasi di tiga kabin yang menjadi pejabat sementaranya di pangkalan Polis Marin Lahad Datu sementara mencari tapak sesuai untuk membangunkan sebuah ibu pejabat tetap di daerah itu.

Pelantikan pengarah ESSCOM yang dibuat selepas hampir sebulan gerakan ofensif terhadap kumpulan militan dari Sulu yang menceroboh Sabah itu meyakinkan lagi rakyat terhadap kejayaan pasukan keselamatan dalam menangani krisis itu dan menjamin keamanan kekal di bumi Sabah.

Kejayaan gerakan ofensif sejak 5 Mac lalu diikuti operasi penggeledahan dan pembersihan oleh pasukan keselamatan itu boleh dilihat apabila 68 musuh ditembak mati manakala 121 ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) dan 443 yang lain ditahan atas pelbagai kesalahan lain.

"Kami yakin jumlah musuh kini amat berkurangan, mungkin kurang dari 10 orang," kata Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib pada sidang media di Markas Operasi di FELDA Sahabat 16, Lahad Datu, hari ini.

Malah, tiga kampung yang menjadi lokasi persembunyian kumpulan militan iaitu Kampung Tanduo, Kampung Tanjung Batu dan Kampung Labian kini disahkan bersih daripada pengganas militan.

Hamza berkata, seramai 20 hingga 25 penghuni Kampung Tanjung Batu yang rumah mereka tidak mengalami kerosakan teruk akan dibenar pulang ke rumah masing-masing esok.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas pihak keselamatan mendapati kawasan yang menjadi kubu pengganas sejak pencerobohan 12 Februari lalu itu terjejas teruk berikutan pertempuran pasukan keselamatan dan kumpulan militan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tungku, Datuk Mohd Suhaili Said berkata, tanah kampung berkenaan akan diserah untuk pembangunan ESSCOM.

Sejak insiden pencerobohan itu, 10 anggota keselamatan terdiri daripada lapan anggota polis dan dua tentera terkorban. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment