Rakyat jangan termakan hasutan - Dr. Mahathir
ALOR SETAR, JUMAAT, 29 Mac, 2013: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengingatkan rakyat negara ini supaya tidak termakan hasutan sesetengah pihak yang cuba menanamkan kebencian terhadap kerajaan semata-mata untuk mencapai impian politik mereka.
Katanya, rakyat perlu membuat perhitungan sewajarnya termasuk menilai reputasi kerajaan Barisan Nasional (BN) yang berjaya mentadbir negara ini sejak lima dekad lalu dengan cemerlang sekali gus memberi nikmat kemakmuran tidak terhingga kepada rakyat hari ini.
Apa yang lebih penting katanya, tiada istilah kerajaan atau pemimpin BN bersikap zalim terhadap rakyat seperti cuba dicanangkan pihak terbabit untuk mengelirukan rakyat.
"Dari dahulu lagi sewaktu saya jadi Perdana Menteri ada yang kata saya zalim. Apa yang saya buat dikatakan zalim. Kezaliman apa sebenarnya? Kalau seseorang pemimpin itu bersikap menindas rakyat seperti di sesetengah negara sampai nak tidur malam pun takut barulah dikatakan zalim.
"Tetapi kita hari ini hidup aman damai. Nikmat datang sebab negara kita aman kerana ada pemimpin yang mentadbir dengan cekap dan pasukan keselamatan yang sanggup berkorban demi kita hidup aman," katanya selepas majlis Sepetang Bersama Tun Dr. Mahathir Mohamad di Universiti Antarabangsa Albukhary di sini hari ini.
Yang hadir sama ialah isteri beliau, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali dan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir.
Menurut Dr. Mahathir, sekiranya ada sesetengah pihak sengaja menafikan kejayaan yang telah dicapai sebaliknya mahu mencari dan mengungkit kesalahan yang mereka sendiri tidak nampak, orang itu adalah kumpulan yang tidak bersyukur.
Katanya, tiada alasan untuk rakyat menukar kerajaan yang sedia ada melihat kepada prestasi pemimpin BN sejak dahulu sehingga sekarang.
Sementara itu dalam sidang akhbar selepas majlis tersebut, Dr. Mahathir berkata, BN tetap mempunyai peluang cerah untuk meraih kemenangan dalam Pilihan Raya Umum Ke-13. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment