My Add

Saturday 30 March 2013

Orang Asli digesa rebut peluang pendidikan

 *ROSMAH Mansor menyampaikan cenderamata kepada anak-anak Orang Asli
 di Kampung Cenderung Kelubi, Tanjung Tualang, Pasir Salak, Perak, semalam. - BERNAMA

PASIR SALAK, JUMAAT, 29 Mac, 2013: Orang Asli disaran merebut peluang keemasan melalui pelbagai kemudahan serta program pendidikan yang disediakan oleh kerajaan bagi menjamin masa depan diri dan keluarga yang lebih baik.

Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, kerajaan memperuntukkan RM22.5 juta bagi membantu pelajar Orang Asli mendapat pendidikan percuma dalam usaha merapatkan jurang golongan tersebut dengan masyarakat luar termasuk di kawasan bandar.

Menurut Rosmah, komitmen kerajaan membantu Orang Asli memperlihatkan kejayaan termasuk pencapaian cemerlang anak-anak golongan itu dalam bidang akademik.

Terbaharu, kata Rosmah, adik Darwisshah Deraman dan Juliana Zaszira Ismail dari Pekan, Pahang membuktikan masyarakat Orang Asli juga mampu mencapai keputusan 9A dan 8A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Pada tahun ini, sekurang-kurangnya 18 peratus atau 336 pelajar Orang Asli dapat melanjutkan pelajaran lebih tinggi selepas menduduki SPM dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dalam negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program Siri Penjelajahan Kesejahteraan Keluarga Untuk Rakyat (Spekktra) anjuran Yayasan Orang Asli Malaysia di Kampung Cenderung Kelubi, Jalan Tanjung Tualang, dekat sini hari ini.

Yang turut hadir, isteri Menteri Besar Perak, Datin Seri Saripah Zulkifli; Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kampung Gajah, Datuk Dr. Wan Norashikin Wan Noordin dan Pengerusi Lembaga Amanah Yayasan Orang Asli Malaysia, Rashid Ka'.

Pada majlis tersebut, Rosmah yang juga Penaung Yayasan Orang Asli Malaysia, turut menyampaikan hadiah kepada beberapa pelajar cemerlang daripada masyarakat Orang Asli.

Rosmah berkata, pendidikan merupakan tulang belakang dalam mengubah struktur sosioekonomi masyarakat sesebuah negara kerana mendorong kepada pemikiran positif, optimis dan sentiasa bersedia menyahut cabaran.

"Oleh itu, saya menyeru supaya semua pihak terutama masyarakat Orang Asli, agensi-agensi kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menggembleng tenaga untuk melihat kejayaan anak-anak terus menyerlah pada masa akan datang," katanya.

Dalam ucapannya, Rosmah menggesa Yayasan Orang Asli supaya tidak hanya memberi tumpuan pada aspek pendidikan dan kesihatan semata-mata, tetapi turut menekankan pembangunan keusahawanan, sukan dan kemasyarakatan.

Beliau juga menyeru masyarakat Orang Asli supaya terus memberikan sokongan padu kepada Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.

Katanya, di Parlimen Pekan, kira-kira 4,000 pengundi masyarakat Orang Asli memberikan sokongan 100 peratus kepada Perdana Menteri dan beliau berharap kaum pribumi di Pasir Salak turut mengikuti langkah sama.

"Jangan tanya bila hendak pilihan raya, itu hanya Datuk (Seri) Najib dan Allah sahaja yang tahu. Kadang-kadang, saya cuba juga bertanya tetapi dia kata buat kerja sahaja. Walaupun saya dekat dengannya, saya sendiri tidak tahu sebab dia tidak cerita kepada saya," kata Rosmah. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment