Ribuan pengunjung LIMA 2013 beratur awal pagi
LANGKAWI, SABTU, 30 Mac, 2013: Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2013 yang memasuki hari terakhirnya terus mencuri tumpuan ribuan pengunjung yang ghairah mahu menyaksikan pertunjukan udara serta maritim di samping pameran teknologi pertahanan terkini.
Seawal pukul 8 pagi, para pengunjung sudah siap sedia beratur di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) dan tidak sabar menantikan pertunjukan udara dari Tim Aerobatik Jupiter milik Tentera Nasional Indonesia, Pasukan Smokey Bandits Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Krisakti (Pasukan Aerobatik 1Malaysia), Russian Knights (Tentera Udara Rusia) serta pesawat tempur Dassault Rafale dan Eurofighter Typhoon.
Di samping pertunjukan udara, LIMA 2013 turut menyajikan pertunjukan statik kapal perang di jeti Awana Porto Malai yang merangkumi 65 kapal tentera laut dari pelbagai negara termasuk kapal selam KD Tun Abdul Razak milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), kapal pemusnah USS Chung Hoon milik Tentera Laut Amerika Syarikat, HMAS Paramatta dan HMAS Maryborough dari Australia. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment