My Add

Saturday, 30 March 2013

Lebih 50,000 kunjungi LIMA

 *LAPANAN pesawat diserbu orang ramai untuk menyaksikan Pameran
LIMA  di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, semalam.

LANGKAWI, JUMAAT, 29 MaC, 2013: Lebih 50,000 pelawat dari dalam dan luar negara membanjiri Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) di sini bagi menyaksikan pameran serta pertunjukan aerobatik Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2013 yang mula dibuka kepada orang awam hari ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, sambutan memberangsangkan pameran edisi ke-12 itu dapat dilihat apabila orang ramai menyerbu dan memenuhi tapak pameran sejak awal pagi.

Katanya, LIMA 2013 juga mencatat kehadiran seramai 38,421 pelawat perdagangan dari hari pertama LIMA 2013 bermula Selasa lalu sehingga semalam.

"Mesyuarat bisnes ke bisnes yang diuruskan dalam tempoh itu mencapai 1,022 pertemuan. Ini membuktikan LIMA memainkan peranan sebagai satu landasan untuk mengeratkan hubungan dengan negara-negara asing," katanya kepada pemberita di MIEC di sini hari ini.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia mendapati rata-rata pelawat teruja menyaksikan pertunjukan aerobatik dan pameran di lebih 443 gerai yang mempamerkan teknologi pertahanan canggih dari seluruh dunia termasuk Rusia, Australia, United Kingdom, Amerika Syarikat dan Perancis.

Antara menjadi tumpuan mereka ialah simulator penerbangan yang dipamerkan oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) serta replika-replika pesawat pejuang termasuk Rafale, Eurofighter Typhoon dan F/A-18D Hornet.

Mereka juga membanjiri luar pekarangan MIEC untuk menyaksikan pertunjukan udara terutama pesawat aerobatik termasuk pasukan tempatan seperti Pasukan Smokey Bandits Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Krisakti (Pasukan Aerobatik 1Malaysia) dan Russian Knights (Tentera Udara Rusia).

Apa yang menarik, gerai Tourism Malaysia di bawah seliaan Kementerian Pelancongan yang mempamerkan makanan, pakaian dan kraf tangan tradisional turut dikerumuni pengunjung terutama pelancong asing.

Seorang pengunjung, Jamilah Rashid, 42, berkata, dia teruja untuk melihat kecanggihan aset-aset udara dan maritim di pameran dwitahunan tersebut memandangkan LIMA kali ini dikatakan terbesar dalam sejarah.

"Saya membawa anak-anak didik saya ke LIMA kerana mahu mereka merasakan pengalaman unik melihat sendiri aset-aset pertahanan yang terlibat dalam menjaga kedaulatan negara ini dan negara-negara luar," katanya yang juga pengiring pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Kedawang, di sini.

Bagi Mohd. Afif Md. Isa, 16, dia telah lama memasang niat untuk menyaksikan kehebatan pesawat pejuang Eurofighter Typhoon yang merupakan antara tarikan utama pada pameran berkenaan selain Rafale dan Super Hornet.

"Saya gembira dapat melihat pesawat tersebut melakukan pergerakan hampir mustahil mereka, memang menjadi impian saya melihatnya terbang di hadapan mata sendiri," ujarnya.

Seorang pengunjung lain, Ahmad Hashim, 35, pula, dia tidak pernah melepaskan peluang melawat LIMA sejak acara berkenaan diperkenalkan pada 1991 ketika dia masih bersekolah lagi.

Untuk pameran kali ini, Ahmad Hashim turut membawa bersama isteri serta tiga orang anaknya yang berumur antara dua dan lima tahun.

"Saya tidak akan melepaskan peluang ke pameran berprestij sebegini. LIMA akan terus berkembang dan menjadi tarikan utama pemain-pemain pertahanan luar ke negara ini," katanya.

 Penganjuran LIMA capai objektif - Zahid

LANGKAWI 29 MaC: Peningkatan jumlah syarikat dan aset industri pertahanan yang mengambil bahagian dalam Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2013 membuktikan pameran dwitahunan itu mencapai matlamat dan terus menarik perhatian ramai.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, selain tarikan dari segi demonstrasi dan pameran, kejayaan tersebut merupakan hasil usaha keras serta kerjasama semua pihak dalam mempromosikan pameran itu yang kini memasuki edisi ke-12.

“Ia sekali gus menepis dakwaan khususnya dalam media sosial kononnya LIMA 2013 kurang mendapat sambutan berbanding edisi sebelumnya," katanya kepada pemberita di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) di sini hari ini.

Menurut Ahmad Zahid, LIMA 2013 menyaksikan kenaikan lapan peratus penyertaan dalam kalangan syarikat berbanding edisi sebelum ini.

Beliau berkata, pameran kali ini disertai 226 syarikat tempatan yang mewakili 52 peratus penyertaan sementara bakinya 48 peratus pula mewakili 207 syarikat dari luar negara. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment