My Add

Saturday 30 March 2013

Kikis sikap taksub pemimpin politik


 *MUKHRIZ Tun Mahathir (empat dari kiri) beramah mesra dengan Sheikh
 Muhamad Baderudin Ahmad (tiga dari kanan) dalam Majlis Istighasah
 Al-Kubra dan Bacaan Yasin peringkat Kedah di Masjid An-Naim Kem 
Lapangan Terbang, Sungai Petani, semalam.


SUNGAI PETANI, JUMAAT, 29 Mac, 2013: Majlis Perundingan Melayu (MPM) mengajak umat Islam melakukan muhasabah diri termasuk mengikis sikap fanatik dalam politik kepartian yang mengagung-agungkan pemimpin tertentu.

Setiausahanya, Dr. Hasan Mat berkata, sikap tersebut perlu dibendung bagi mengukuhkan perpaduan ummah dan menjaga kepentingan orang Melayu.

"Sehubungan itu kita sedia memberi penerangan kepada masyarakat dalam menangani perkara tersebut," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Istighasah Al-Kubra dan Bacaan Yasin peringkat Kedah di Masjid An-Naim Kem Lapangan Terbang di sini hari ini.

Kira-kira 1,000 anggota tentera di Kem Lapangan Terbang Sungai Petani mengikuti majlis bermula 4 pagi itu yang turut diadakan ceramah Permasalahan Ummah Masakini oleh Mufti Kedah, Datuk Sheikh Muhamad Baderudin Ahmad.

Pada majlis itu, mereka mengadakan solat tahajud, solat hajat, berzikir dan berdoa beramai-ramai untuk memohon pertolongan dan perlindungan Allah bagi mengelak negara dan rakyat daripada ditimpa bala dan bencana.

Yang turut hadir ialah Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir dan Penyelaras Parlimen Merbok, Datuk Tajul Urus Mat Zain.

Hasan berkata, pihaknya bersedia menganjurkan lebih banyak majlis berkenaan di masjid-masjid di seluruh negara kerana usaha itu mampu menimbul semangat baharu dalam kalangan umat Islam.

Beliau berkata, beberapa program yang diadakan sebelum ini termasuk di Shah Alam, Selangor, Ipoh, Perak mendapat sambutan amat baik dan meningkatkan keinsafan dalam kalangan umat Islam.

"Kita mahu pastikan semua 280 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di seluruh negara melibatkan orang Melayu dengan ahli seramai 3.5 juta dapat menghadiri majlis anjuran MPM itu," katanya.

Sementara itu, Mukhriz pula berkata, disebabkan terlalu banyak berpolitik, pelbagai masalah timbul dalam negara tanpa disedari oleh orang Melayu sendiri.

"Usaha MPM amat baik kerana boleh meningkatkan kesedaran umat Islam agar sama-sama mematuhi perintah Allah," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment