Rumah penuh bekas peluru, terbakar selepas diceroboh
LAHAD DATU, JUMAAT, 29 Mac, 2013: Wajah resah jelas kelihatan di wajah setiap wakil penduduk Kampung Tanjung Batu di sini, sebelum mereka dibawa untuk pertama kali menjenguk kediaman masing-masing hari ini.
Dalam fikiran terbayang bagaimana keadaan rumah yang ditinggalkan sejak hampir dua bulan lalu, setelah kumpulan pengganas Kiram menceroboh perkampungan mereka.
Diiringi kawalan pasukan keselamatan yang lengkap bersenjata, kumpulan wakil penduduk hampir 30 keluarga itu menyusuri laluan sepi menuju ke kampung tersebut.
Belum pun sampai ke Kampung Tanjung Batu, suasana sedih dan hiba mula terlihat di wajah kumpulan penduduk tersebut apabila melihat keadaan rumah kejiranan mereka di Kampung Tanjung Labian.
Perasaan sayu tidak boleh dibendung apabila mereka melihat rumah-rumah di Kampung Tanjung Labian dipenuhi dengan lubang-lubang bekas tembakan peluru pada dinding semasa berlaku kejadian tembak-menembak antara anggota keselamatan dengan pengganas Kiram.
Selepas menempuh perjalanan sejauh dua kilometer dari Kampung Tanjung Labian, hati mereka bertambah berdegup kencang setibanya di kampung sendiri.
Sebaik kenderaan membawa mereka berhenti di kawasan ditetapkan, perasaan gelodak ingin mengetahui keadaan rumah masing-masing menyebabkan mereka sedaya-upaya menerpa ke barisan hadapan bagi melihat kediaman yang dirindui.
Selepas pengenalan diri diambil oleh anggota keselamatan dan dibenarkan pergi melihat rumah masing-masing, ada di kalangan penduduk tidak segan silu terus berlari menerpa ke rumah masing-masing.
Pelbagai reaksi boleh dilihat sebaik sahaja masing-masing dibenarkan melihat keadaan rumah buat pertama kalinya selepas insiden pencerobohan itu. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment