My Add

Saturday, 30 March 2013

Kekecohan ketika PRU-13 tidak untungkan negara: Ahli akademik

KUALA LUMPUR, SABTU, 30 Mac, 2013: Sebarang usaha untuk menimbulkan kekecohan ketika pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) nanti tidak berbaloi dan tidak menguntungkan rakyat, demikian pendapat beberapa ahli akademik.

Pensyarah Kolej Undang-Undang Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Mohamad Faisol Keling berkata taktik seumpama itu semata-mata untuk meraih kuasa tidak harus digunakan oleh mana-mana pihak.

"Sebarang cetusan idea untuk menghuru-harakan perjalanan PRU-13 boleh menjurus kepada budaya politik tidak sihat, sekali gus menggugat kestabilan negara," katanya.

Beliau memberikan contoh ketidakstabilan yang berlaku di beberapa negara di Timur Tengah akibat kekecohan berpanjangan.

Beliau mengulas tentang apa yang didakwa sebagai manual sebuah parti politik yang tersiar dalam sebuah laman blog, dilihat seolah-olah sebagai strategi untuk mewujudkan suasana huru-hara pada pilihan raya umum nanti.

Di peringkat pertama, manual itu merujuk kepada usaha mewujudkan kekecohan di pusat mengundi.

Ini akan dilaksanakan melalui kaedah berikut:
* Membuat pengundi berasa kurang senang dan kecewa dengan kelemahan pengurusan pusat mengundi

* Pengundi bertindak melakukan kekecohan

* Mewujudkan perasaan benci pengundi kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)

* Protes oleh ejen di tempat mengundi

* Mewujudkan keadaan pengundi beratur panjang sehingga keadaan tidak dapat dikawal

* Memberi tekanan berterusan kepada kakitangan di pusat mengundi.

Bagi 'manual' peringkat kedua, parti berkenaan dikatakan menggunakan media sosial seperti Twitter untuk membangkitkan kemarahan pengundi dengan penggunaan hashtag (#) tertentu.

Selain itu, parti politik itu dikatakan merancang mewujudkan 'nukleus kekecohan' di beberapa kawasan Parlimen.

Mengulas lanjut, Faisol berkata PRU-13 adalah satu proses demokrasi yang sepatutnya dihormati oleh semua pihak, bukannya merancang untuk mencetuskan huru-hara kerana ini bertentangan dengan norma budaya politik Malaysia selama ini.

Pensyarah Kanan Jabatan Asas Pendidikan dan Kemanusiaan, Universiti Malaya (UM), Dr Ghazali Darusalam pula berkata tindakan pihak tertentu yang dilihat berterusan tampil dengan pelbagai idea untuk merosakkan negara menunjukkan mereka tidak bersyukur terhadap nikmat kemerdekaan dan kestabilan yang dikecapi selama ini.

"Mereka mungkin tidak mengambil pengajaran daripada apa yang berlaku di beberapa negara di Timur Tengah, semuanya hancur kerana kekecohan," katanya.

Lebih menyedihkan nasib generasi akan datang yang tidak menentu akibat situasi kucar kacir di negara-negara berkenaan, katanya sambil menambah kata impak negatifnya akan turut dirasai di sektor ekonomi.

Dr Ghazali berkata pihak yang menerajui kerajaan melalui taktik kotor hanya akan mewarisi sebuah negara yang porak peranda keamanan dan ekonominya.

"Pelabur sedia ada akan lari dan pelabur baharu yang melihat keadaan yang berlaku susulan tindakan yang merosakkan, tidak mungkin datang melabur," katanya.

Sementara itu, pakar sejarah Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim berkata seandainya rancangan untuk mewujudkan kekecohan berlaku, kesannya akan terpalit dalam sejarah negara sampai bila-bila.

"Malaysia sentiasa dilihat dunia luar sebagai negara luar biasa, cintakan keamanan serta digemari pelancong dan kita perlu mengekalkan status itu, bukan merosakkannya," katanya.

Menurutnya, apa yang dibimbangi ialah golongan muda yang menjadi pengguna utama laman sosial mudah mempercayai hasutan dan fitnah yang dibawa oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Dalam pada itu, Yang Dipertua Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia, Datuk Adiwijaya Abdullah meminta pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan ke atas mana-mana pihak yang cuba mewujudkan provokasi pada PRU-13 nanti.

"Jangan kerana terlalu taksub mahu memerintah negara hingga sanggup menjadikan provokasi sebagai taktik meraih undi rakyat. Kacau bilau, huru-hara hanya akan menakutkan pengundi untuk keluar mengundi.

"Kalau nak menang, kenapa perlu buat sedemikian kerana ia akhirnya menunjukkan kelemahan sendiri," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment