My Add

Saturday 30 March 2013

Wan Azizah dinasihat tidak bertanding di Selangor

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 29 Mac, 2013: Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dinasihatkan tidak bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor pada Pilihan Raya Umum Ke-13 ini.

Seorang ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor, Amizan Man mendakwa, ini kerana terdapat kelompok tertentu dalam parti menolak kehadiran Presiden PKR itu di negeri tersebut.

"Ada kelompok tertentu berkata Datin Seri (Wan Azizah) tak payah bertanding (DUN Selangor). Hal ini kerana Selangor bukanlah kawasan beliau.

"Kalau bertanding juga, ini akan memecahbelahkan parti. Jadi tak payahlah. Duduk diam-diam di Permatang Pauh," dakwanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam satu sidang akhbar semalam, Wan Azizah membayangkan kemungkinan bertanding di kerusi DUN dan disebut-sebut bakal dicalonkan di sebuah kerusi di Selangor.

Malah, beliau dijangka dilantik sebagai Menteri Besar jika pakatan pembangkang berjaya mengekalkan kuasa mereka.

Berikutan perkembangan itu, difahamkan Menteri Besar sedia ada, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan bertanding kerusi Parlimen.

Turut dikatakan akan bertanding kerusi Parlimen ialah Pengerusi PKR negeri, Azmin Ali.

Amizan mendakwa, walaupun peratusan kemenangan Wan Azizah dikatakan cukup kuat jika bertanding di DUN Selangor, namun perkara itu akan menampakkan PKR bersifat seperti 'parti keluarga'.

"Bagilah kepada Azmin. Tak manis beliau dan Azmin bertanding DUN Selangor," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment